Lagu perpisahan tular: ASP Jasni terharu penduduk hargai anggota polis

A
A
A

KUALA LUMPUR- "Saya anggap penduduk di bawah Balai Polis USJ 8 sebagai saudara, memang sedih nak tinggalkan, tujuh tahun dah sebati dengan jiwa, apapun saya ucapkan tahniah kepada mereka wakil penduduk, ketua-ketua komuniti, KRT kerana atas usaha mereka lahirnya sebuah masyarakat yang harmoni terdiri pelbagai bangsa,"

Demikian luahan bekas Ketua Balai USJ 8, Asisten Suprintendan Jasni Zolpa sewaktu ditanya tentang sejauh mana keakraban dirinya dengan penduduk di kawasan itu hinggakan beliau dihargai hingga lahirnya muzik video lagu perpisahan berjudul 'Kami Doakan Terbaik Untukmu' buat ASP Jasni Zolpa yang kini tular di media sosial.

Anak kelahiran Selayang itu tidak menyangka dirinya menjadi perhatian selepas tularnya klip video lagu perpisahan berkenaan dan menganggap ianya juga didedikasikan khas buat 100 anggotanya yang bertugas di balai berkenaan.

"Sebenarnya tanpa kerjasama anggota yang lain, tidak mungkin hubungan rapat yang terjalin antara polis dan masyarakat di sini menjadi kenyataan kerana saya mementingkan aspek komunikasi kedua-dua belah pihak," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurut Jasni, setiap aduan yang diterima akan cuba diselesaikan sebaik mungkin terutama berkaitan jenayah.

"Kalau dulu orang nampak polis takut nak dekat, tapi saya cuba ubah persepsi itu dengan guna pendekatan polis akan tegur penduduk duhulu, hinggalah sampai satu ketika mereka gembira dan mula rapat dengan kami.

"Bukan setakat siasat kes jenayah, polis juga dianggap sebagai orang tengah untuk menyelesaikan pelbagai masalah hingga ke masalah rumah tangga sampaikan gaduh laki bini, ketua balai juga kena jadi orang tengah selesaikan, tapi saya anggap semua itu tanggungjawab.

Menurut Jasni, dia sering mengingatkan anggotanya terutama yang mengambil laporan di balai melayan orang ramai dengan mesra dan baik kerana di situ hubungan dengan masyarakat bermula.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada majlis atau program pantang dijemput, saya pasti akan hadir meskipun program membanteras nyamuk aedes dan tangkap tikus," katanya yang sudah berkhidmat dalam PDRM selama 18 tahun.

Beliau yang kini bertugas sebagai Pegawai Integriti (siasat dan implimentasi) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata kawasan perumahan di situ besar dan dianggarkan kira-kira 400,000 penduduk dengan nisbah 1 anggota polis, 3000 penduduk memang misi yang mustahil.

"Kesedaran betapa pentingnya komuniti aktif mampu mengekang kejadian jenayah mendorong 40 buah taman perumahan di kawasan di bawah balai USJ 8 menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Menurut pegawai polis berusia 39 tahun itu, kejayaan paling besar ialah hasil maklumat penduduk adalah apabila polis dapat menangkap dua orang suspek kes bunuh sepasang suami isteri.

"Suspek menangis dan meraung dalam rumah menyebabkan jirannya terdengar dan melaporkan segera dengan polis dan kes itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 6 jam. Begitu dengan kejayaan menyelesaikan 14 kes ragut dengan tertangkapnya suspek yang ditangkap berkeadaan mencurigakan di kawasan perumahan hasil aduan awam," katanya.

link klip muzik video 'Kami Doakan Terbaik Untukmu': https://www.youtube.com/watch?v=-7LSV_yP_HM