Buku Biografi Inspirasi Cuepacs dilancar

Ali (tengah) melancarkan buku Biografi Perjuangan Cuepacs sambil disaksikan Azih (kiri) dalam Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-62 Cuepacs di sini malam ini.
Ali (tengah) melancarkan buku Biografi Perjuangan Cuepacs sambil disaksikan Azih (kiri) dalam Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-62 Cuepacs di sini malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku Biografi Inspirasi Cuepacs dilancarkan hari ini bersempena penubuhan kesatuan itu yang ke-62 tahun.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa dan disaksikan oleh Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda di sini malam ini.

Azih berkata, buku biografi itu diterbitkan bertujuan untuk menjelaskan kepada generasi akan datang mengenai perjuangan Cuepacs sejak awal penubuhan iaitu pada tahun 1957 sehingga 2019.

"Dulu gaji kita sangat rendah iaitu RM185, sekarang ini gaji minimum ialah RM1,200 maknanya jurang yang jauh tetapi kita tengok masa gaji RM185, harga barang sangat rendah, kita boleh berbelanja.

"Tapi hari ini gaji minimum RM1,200 dan harga barang sangat tinggi, kita tak mampu nak belanja. Jadi itu yang kita tengok perjuangan kita ini macam survival untuk hidup, bukan untuk nak senang. Cuma untuk beli rumah, pendidikan anak anak dan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-62 Cuepacs dan meraikan persaraan Tan Sri Dr Ali Hamsa malam ini.

Menurutnya, semua kisah perjuangan Cuepacs digambarkan dalam buku itu dan buku biografi perjuangan ini tidak dijual sebaliknya ia akan diedarkan ke arkib negara, Perpustakaan negara sebagai cenderahati.

Terdahulu, dalam majlis sama, Azih yang juga penerima anugerah Bintang Jasa Terbilang Cuepacs turut menyampaikan anugerah berkenaan antaranya kepada Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab.

Artikel Berkaitan: