LGM rugi RM800j daripada penjualan tanah

Lembaga Getah Malaysia
Lembaga Getah Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA – Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerugian kira-kira RM800 juta daripada penjualan tanah di Sungai Buloh, demikian didedahkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata kerajaan terdahulu telah memberi kebenaran dan mengarahkan penjualan tanah seluas kira-kira 2,800 ekar (kira-kira 1,120 hektar) milik LGM di Sungai Buloh (Lot 481) kepada Aset Tanah Negara Bhd, syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan. Ia membabitkan penjualan terus dengan LGM sewenang-wenangnya dibayar RM1.5 bilion pada Oktober 2010.

Luas sebenar Lot 481 adalah kira-kira 3,385 ekar (kira-kira 1,354 hektar) dan selepas 2,800 ekar dijual, baki tanah itu kini hanya seluas 585 ekar (kira-kira 234 hektar).

Kok berkata perkara itu dikesan semasa pengauditan awal oleh LGM yang diarahkannya apabila beliau dilantik ke jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Selepas itu, pengauditan penuh ke atas semua aset dan kontrak LGM telah dijalankan, katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Ravi Muthayah, Pengerusi LGM Sankara N. Nair, Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dan Timbalan Ketua Pengarah LGM (Penyelidikan & Inovasi) Dr Amir Hashim Md Yatim.

Beliau berkata LGM kemudiannya mendapat tahu bahawa tanah seluas 2,800 ekar (yang dijual (kepada Aset Tanah) selepas itu telah dibeli oleh Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada harga kira-kira RM2.28 bilion.

“Dengan itu LGM telah diperdaya dan terdapat perbezaan kira-kira RM800 juta. LGM menegaskan bahawa di sisi undang-undang ia berhak bagi perbezaan harga itu.

“Setakat ini masih belum diketahui jumlah itu digunakan untuk apa. Lembaga telah melaporkan transaksi mencurigakan itu kepada Jabatan Ketua Audit Negara untuk pengauditan menyeluruh dan siasatan selanjutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sebahagian daripada penjualan itu, Kok turut mendedahkan anggota Lembaga LGM ketika itu telah meluluskan RM1.5 bilion itu dimanfaatkan bagi membangunkan baki tanah seluas 585 ekar itu.

“Kemudian pada 2012/2013, Lembaga memutuskan untuk membina lima fasiliti iaitu makmal, menara pejabat, muzium, pusat sukan dan Kompleks Sedec bagi perpindahan teknologi,” katanya.

Mengikut rekod, Rakan Penyampai Projek (PDP) telah dilantik secara diam-diam dan tanpa kelulusan "rasmi"” Lembaga, sedangkan sepatutnya dilantik Perunding Pengurusan Projek (PMC).

Pada Februari 2018, lembaga baharu yang dilantik, selepas anggota lembaga sedia ada diberhentikan, ini telah mengesan beberapa transaksi mencurigakan oleh pegawai tertentu LGM.

Kok berkata Lembaga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Nov tahun lepas atas dakwaan melanggar prosedur LGM yang telah mengakibatkan LGM kerugian kira-kira RM70 juta.

Ditanya siapa yang teribat dalam urus niaga tanah itu, Kok berkata butirannya tidak boleh didedahkan kerana Lembaga telah membuat laporan kepada SPRM dan ia berlaku semasa di bawah pentadbiran bekas menteri kerajaan pada 2010.

"Selain itu, Lembaga juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai LGM tertentu bagi salah laku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LGM Sankara Nair berkata apabila PDP dibatalkan pada Februari 2018, ia telah menyiapkan hanya lima peratus pembangunan berkenaan.

Katanya PDP telah menerima RM70 juta atau 6.3 peratus daripada kos keseluruhan projek itu sebelum projek itu dihentikan.

Sankara berkata PDP bagi projek itu ialah KLIA Consortium, yang ditubuhkan oleh KLIA Associates Sdn Bhd dan KLIA Consultancy Services Sdn Bhd, dan kontraktor pakej kerja ialah Mudajaya Group Bhd.

“Bagi penjualan tanah pada 2010, perkara itu telah dibawa kepada perhatian Ketua Audit Negara untuk dibincangkan secara terperinci sebelum sebarang laporan rasmi boleh dibuat,” katanya dan menurutnya pengauditan dalaman masih dijalankan.

Kepada soalan lain, Sankara berkata Lembaga telah serta merta mengisytiharkan moratorium bagi semua pembangunan di masa depan di semua tanah milik LGM. - Bernama