Isu benih padi tak cukup di Kedah diperjelas

Gambar kecil: Azman
Gambar kecil: Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Dua syarikat pengeluar benih padi di Kedah telah mencapai tuntutan insentif seratus peratus terhadap kuota yang diperuntukkan.

Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata, ini berlaku disebabkan syarikat pengeluar tidak merancang pengagihan keperluan benih untuk negeri ini pada musim ini.

Menurutnya, ini menyebabkan benih tersebut dijual kepada petani di luar Kedah seperti Terengganu, Kelantan, Selangor dan Perak.

“Ini kerana pengeluar di Selangor dan Perak tidak dapat membekal benih kepada petani mereka dengan secukupnya. Ada juga kalangan petani di Kedah melakukan pembelian panik di mana petani yang berada di Fasa dua dan tiga membeli benih di luar masa keperluan mereka,” katanya, ketika sesi penggulungan persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Azman berkata, sehubungan itu dua syarikat pengeluar yang telah memenuhi kuota tidak dapat menjual benih pada harga subsidi, RM28 di pintu kilang dan terpaksa menjual tanpa harga subsidi, iaitu RM48 di pintu kilang bagi menampung subsidi benih.

“Kedah mempunyai tiga syarikat pengeluar benih padi yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Syarikat itu adalah Syarikat Perniagaan Ladang MADA Sdn Bhd (MADACorp) dengan kuota benih 13,000 metrik tan,” katanya.

Menurutnya, dua lagi syarikat adalah Kilang Beras Seri Merbok Sdn Bhd (kuota benih 16,000 metrik tan) serta Pertama Padi Sdn Bhd (kuota benih 6500 metrik tan).

“Jumlah keseluruhan kuota pengeluaran benih padi bagi Kedah sebanyak 35,500 metrik tan, anggaran keperluan benih padi adalah 30,042 metrik tan, berdasarkan anggaran penggunaan 140 kilogram/hektar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, berdasarkan jumlah kuota yang ada dan anggaran keperluan, jumlah itu mencukupi bagi menampung keperluan benih padi di Kedah.