Abang Bob dah tiada...

Berita pemergian Kamarul Sharizam turut dikongsi adik Allahyarham.
A
A

SHAH ALAM - Sebelum ini pernah tular di media sosial mengenai kisah seorang lelaki yang terpaksa menyerahkan empat orang anak kandungnya kepada orang lain untuk dijaga kerana menghidap penyakit kronik setelah bercerai dua tahun lalu.

Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, yang lebih dikenali sebagai Abang Bob terpaksa mengambil keputusan tersebut berikutan tidak mampu menyara anak-anaknya kerana tidak mempunyai pekerjaan dan tidak berdaya bekerja berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Walaupun menerima bantuan bulanan namun kos rawatan serta kos untuk menjalani kehidupan sekeluarga di samping anak-anak yang sedang membesar membuatkannya terpaksa mengambil keputusan tersebut.

Namun, menerusi posting yang dimuat naik oleh @PaanOvrtd di Twitter semalam memberitahu Abang Bob telah meninggal dunia tular di media sosial.

"Ingat tak kisah seorang suami sakit dengan anak-anak kecil yang kena tinggal isteri itu. Rupanya abang kepada rakan setugas masa program Negeri Sembilan Beriktikaf, dia meninggal dunia. Dia meninggal dunia, terbit air mata mengenangkan nasib anak-anaknya."

Dalam pada itu adik kepada Allahyarham yang menggunakan nama Mohd Zatullah Kamarudin turut ada memaklumkan mengenai pemergian abangnya. Apa yang menghibakan adalah penerimaan anak-anak yang masih kecil kerana begitu rapat dengan bapanya.

"Berkumpullah enam anak-anak arwah bro bob hse menatap saat terakhir wajah arwah ayahnya. Paling kecil setahun lebih. Dia menjerit nak ayah bila lihat ayahnya dikafankan. Maklumlah hidup dengan ayahnya dari kecil.

"Tak rasa kasih sayang seorang ibu. Bangun tidur ayah, merengek dekat ayah, merajuk tunggu ayah pujuk. Semoga arwah abang saya diturunkan rahmat dan pengampunan buatnya. ALLAH humma aamiin," luahnya di Facebook.

Dengan perkhabaran duka tersebut, rata-rata netizen telah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mengharapkan agar jenazah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

@NajmuddinJaafar menulis " Al-Fatihah, Saya bekas pelajar politeknik Port Dickson. Saya panggil arwah dengan nama abang bob dan dia orang tengah untuk rumah sewa dekat taman poli dulu. Seorang yang baik. Semoga rohnya tenang di sana,".