Cuepacs minta pembantu tadbir sekolah di Perak henti bertugas

Datuk Azih Muda (tiga, kiri) beramah mesra bersama bekas Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Cuepacs ke-62 di Padang Merbok hari ini. -Foto Bernama
Datuk Azih Muda (tiga, kiri) beramah mesra bersama bekas Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Cuepacs ke-62 di Padang Merbok hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,084 Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi yang menjalankan tugas kewangan di sekolah di Perak diminta menghentikan tugas tersebut selepas Bayaran Insentif Tugas Kewangan (BITK) ditamatkan tanpa notis sejak kemasukan gaji bulan ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) menamatkan elaun BITK tanpa sebarang notis dilihat tidak adil sedangkan pembantu tadbir komited dalam menjalankan tugas.

"Mereka bekerja siang malam termasuk hari cuti Sabtu dan Ahad dan mereka bekerja bertungkus-lumus tetapi dengan mudah KPM hentikan elaun BITK.

"Saya ingat ini tidak adil kepada mereka yang telah berkhidmat dan caranya petugas tidak perlu lagi melaksanakan tugasan kewangan di sekolah," katanya kepada media selepas sambutan Majlis Ulang Tahun Ke-62 Cuepacs di Padang Merbok di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian perlu memberikan penjelasan sewajarnya mengenai penamatan elaun BITK yang berjumlah RM40 sebulan.

Dalam masa sama, beliau juga mengarahkan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) yang merupakan ahli gabungan di bawah Cuepacs supaya mengadakan perjumpaan bersama 1,084 pembantu tadbir yang terlibat.

"Kami akan mengadakan perjumpaan dengan mereka yang terlibat untuk mendapat gambaran sebenar mengenai situasi itu," jelasnya.

Hadir sama, bekas Presiden Cuepacs, Datuk N Siva Subramaniam dan Datuk Nordin Abdul Hamid bersama kira-kira 800 ahli Cuepacs yang terdiri daripada 128 kesatuan.

Artikel Berkaitan: