DBKL kenal pasti dahulu kawasan berisiko banjir kilat

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menunjukkan replika kunci pada Majlis Penyerahan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. -Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menunjukkan replika kunci pada Majlis Penyerahan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti kawasan berisiko banjir kilat terlebih dahulu sebelum menambah baik sistem perparitan di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, hal ini kerana setiap kawasan mempunyai sistem perparitan berbeza yang mana ia hanya mampu menampung kapasiti air yang tertentu apabila hujan lebat.

Menurutnya, DBKL turut bercadang untuk membina kolam takungan di beberapa kawasan bagi mengatasi masalah banjir kilat tetapi kajian menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu.

"Ada sistem saliran yang tak mampu takung air datang mendadak, setakat normal air hujan itu boleh tetapi jika ditambah dengan air mengalir dari bukit maka ia jadi tidak dapat dikawal.

"DBKL perlu melihat perkara ini dan meningkatkan kapasiti (saliran) dan menukar reka bentuk sistem perparitan memandangkan hujan lebat semalam adalah di luar jangkaan kerana dilihat lebih daripada 100mm," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Bandar DBKL Fasa 1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keadaan beberapa jalan utama di ibu kota dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam menyebabkan beberapa kenderaan dilaporkan terperangkap.

Jalan-jalan terlibat ialah Jalan Tuanku Abdul Halim di kedua-dua arah serta Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran susur ke Parlimen.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan memanggil jabatan-jabatan terlibat dalam jawatankuasa khas banjir kilat bagi mendapat laporan penuh mengenai kejadian banjir kilat semalam.

Artikel Berkaitan:

"Semalam ada kawasan tertentu tak sampai 11 minit dah surut, contoh di Mahameru (Lebuhraya Sultan Iskandar) di Segambut pun dalam masa setengah jam pun dah surut, cuma mana-mana kereta yang terjejas kena tengok balik (dari segi pampasan) bergantung kepada situasi.

"Kita tengah lihat kos kerugian banjir semalam, jika punca banjir adalah daripada pihak pemaju, jadi perlu minta pemaju bayar kepada mereka," katanya. - Bernama