KPM tidak campur tangan isu protes siswa UM: Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik -Foto Bernama
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan campur tangan untuk menjadi pengantara antara Universiti Malaya (UM) dengan seorang graduan yang menunjukkan tanda protes pada sidang istiadat konvokesyen universiti itu minggu lalu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, KPM menghormati kuasa autonomi universiti dan mempercayai UM mampu mengendalikan isu tersebut.

"Saya telah pun memberitahu kepada timbalan (Teo Nie Ching) saya bahawa kita tidak akan terlibat (campur tangan) dalam hal ini. Proses mediasi pula hanya akan dibuat sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.

"Jadi buat sementara ini, kita menyerahkan kepada UM sebab kita percaya kepada kuasa autonomi dan kita tidak mahu campur tangan politik. Kita biarkan mereka menguruskannya sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM) di Gombak di sini hari ini.

Pada 14 Oktober lepas, graduan berusia 23 tahun Wong Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak naib canselor universiti itu meletakkan jawatan selepas menerima ijazahnya.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab. - Bernama

Artikel Berkaitan: