Kolam takungan JPS tercemar

Veerapan (kanan) menunjukkan kolam takungan JAS yang tercemar.
Veerapan (kanan) menunjukkan kolam takungan JAS yang tercemar.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kolam takungan air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembah Teknologi Sendayan di sini dikesan dicemari bahan kimia disyaki berpunca dari Pusat Kualiti Alam yang terletak berhampiran.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan jam 1 tengah hari tadi dan pemeriksaan telah pun dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.

“Pemeriksaan mendapati memang berlaku pencemaran air di kolam berkenaan apabila terdapat buih pada permukaan air dan berbau.

"Pemeriksaan telah pun dilakukan di beberapa kilang di kawasan sekitar dan kita syak pencemaran itu disebabkan air dari Pusat Kualiti Alam yang terbakar awal bulan ini telah mengalir ke kolam itu," katanya pada sidang media di lokasi di sini hari ini.

Terdapat buih di kolam takungan JAS di Sendayan.
Terdapat buih di kolam takungan JAS di Sendayan.

Veerapan berkata, semasa kebakaran bomba menggunakan air yang banyak untuk memadamkan api dan air itu kemudian mengalir ke kolam takungan di kilang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, air melimpah dan mengalir ke kolam takungan JPS dan seterusnya ke Sungai Kulai tidak jauh dari lokasi.

"JAS sudah mengambil sampel air di kolam berkenaan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu menunggu laporan untuk kenal pasti bahan kimia sebelum tindakan lanjut diambil. Jika terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan lanjut termasuk membawa kes ke mahkamah,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya mengarahkan Pusat Kualiti Alam melakukan pembersihan di kolam berkenaan.