Enam lelaki curi kambing ditahan

Polis merampas 10 ekor kambing daripada 52 ekor yang dicuri dan disembelih untuk dijual di Pasar Kulim.
Polis merampas 10 ekor kambing daripada 52 ekor yang dicuri dan disembelih untuk dijual di Pasar Kulim.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai enam daripada lapan lelaki dipercayai terbabit dalam kes kecurian melibatkan 52 ekor kambing di Jalan Mengkuang Keretapi, Mengkuang Keretapi pada 19 Oktober lalu berjaya diberkas dalam enam serbuan berasingan malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 61 tahun ditahan dengan dua daripadanya masih bebas.

Menurutnya, suspek berumur 61 tahun dikenal pasti mempunyai lima rekod jenayah turut dikenal pasti sebagai dalang utama kumpulan terbabit.

"Dia merancang untuk mencuri kambing tersebut dan menjual kepada seorang suspek yang merupakan peniaga dan pembekal daging kambing di Pasar Kulim dengan bayaran deposit RM4,000," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, dalang utama terbabit turut dijanjikan bayaran hasil jualan dalam lingkungan RM15,000 hingga RM20,000 setelah semua kambing tersebut dijual.

"Sebanyak 42 ekor kambing telah disembelih dan dijual dengan anggaran harga RM20,000 hingga RM30,000. Suspek mula menjual kambing itu sehari selepas mencuri haiwan terbabit dengan harga RM42 sekilogram," katanya.

Katanya, dengan penahanan suspek-suspek terlibat, pihaknya berjaya merampas sebuah pacuan empat roda, 10 ekor kambing, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM700.

Sementara itu, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Oktober ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun.

Artikel Berkaitan: