Najib setuju Maszlee halang sebar komik propaganda

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menghalang penyebaran komik propaganda kontroversi di sekolah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berkenaan nasihat Ahli Parlimen Simpang Renggam itu yang meminta pemimpin DAP mendisiplinkan ahlinya.

"Itu soal dalaman parti tapi saya setuju dengan Dr Maszlee langkah untuk menyekat komik ini diedarkan di sekolah-sekolah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya adakah isu komik tersebut boleh memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH), Najib mengakui ia adalah isu serius namun enggan mengulas lebih lanjut.

“Ini satu perkara yang serius tapi tidak tahulah nak komen sebab ini perkara dalaman parti,” katanya.

Begitupun, Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan sekiranya DAP menafikan pihaknya mengedarkan komik berkenaan, ia akan menampakkan kredibiliti parti itu telah rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee gesa pimpinan DAP disiplinkan ahli

Komik propaganda dilarang di Malaysia: KDN

Artikel Berkaitan:

“Kalau dia nak nafikan, ia menampakkan kredibiliti DAP telah rosak dalam hal ini kerana orang tidak percaya.

“Secara langsung mereka sudah terlibat dan nak nafikan pula tidak tahu menahu, itu satu tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan kredibiliti DAP,” katanya.

Hari ini, Maszlee memaklumkan beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik tersebut diedarkan di sekolah.

Bahkan beliau turut menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat 'rule of law' dan juga 'collective responsibility'.