'Anak minta belikan telekung baru'

Nor Aliya Natasha (kanan) ditemukan lemas bersama adik tirinya, Nor Aliya Batrisha dalam tali air sedalam tiga meter yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah mereka.
Nor Aliya Natasha (kanan) ditemukan lemas bersama adik tirinya, Nor Aliya Batrisha dalam tali air sedalam tiga meter yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah mereka.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kanak-kanak perempuan yang ditemukan lemas dalam tali air di Parit Simpang 4, Alor Pongsu hari ini pernah meminta supaya dibelikan sepasang telekung baharu.

Nor Aliya Natasha Abdullah, 11, menyatakan keinginan untuk memakai telekung baharu kepada ibunya, Siti Solehah Azmi, 27, dua hari lalu.

Siti Solehah berkata, oleh kerana kesibukan kerja, dia dan suami belum sempat untuk membelikan telekung berkenaan.

"Dua hari lepas dia ada minta saya belikan telekung baru, tapi saya tak sempat nak beli lagi.

"Sungguh saya sedikit terkilan sebab tak sempat tunaikan permintaannya itu dan tak sangka itu petanda dia akan pergi selamanya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Parit Buntar hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 12.40 tengah hari itu, Nor Aliya Natasha ditemukan lemas bersama adik tirinya, Nor Aliya Batrisha Mohamad Ali, 8, dalam tali air sedalam tiga meter yang terletak kira-kira 15 meter dari kediaman mereka.

Keadaan kedua-dua mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu itu disedari orang ramai.

Bapa, Mohamad Ali Mohamad Rashid, 28, berkata, dua beradik berkenaan tidak berada di rumah sejak malam tadi dan dia menyangkakan anak-anaknya itu tidur di rumah nenek mereka yang terletak berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, sebelum ke tempat kerja sekitar jam 11.30 pagi, dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa dua beradik itu tidak berada di rumah nenek mereka.

"Sebelum ini memang mereka selalu tidur di sana tanpa maklumkan pada saya dan isteri, tetapi tak sangka pula lain pula jadinya hari ini," katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan anaknya itu terjatuh selepas tergelincir ke dalam tali air.

Jenazah dua beradik itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Pongsu malam ini.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datul Sham Mat Sahat yang hadir menziarahi keluarga mangsa di hospital mengingatkan penduduk lebih berwaspada terutama pada musim hujan ini yang menyebabkan parit dan tali air dipenuhi air.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik tiri lemas dalam tali air