Pertuduhan CBT Najib lengkap dengan penyelewengan RM42 juta dari SRC

NAJIB
NAJIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lengkap apabila wang RM42 juta diseleweng daripada SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhujah dalam kes pecah amanah, kesalahan itu lengkap apabila terdapat penyelewengan yang tidak jujur berhubung dana RM42 juta tersebut.

“Kami menyatakan wang itu telah disalahgunakan daripada SRC International Sdn Bhd. Jadi kesalahan itu lengkap...persoalan mengenai resit wang itu tidak timbul. Ia tidak penting, tiada siapa yang kerugian atas kehilangan itu,” katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Sithambaram menjelaskan, kes CBT dan pengubahan wang haram adalah dua pertuduhan yang berbeza yang memerlukan elemen yang berbeza untuk membuktikannya, dan mereka (pendakwaan) tidak membuat pertuduhan yang tidak betul.

“Kerugian/kehilangan salah atau keuntungan salah bukanlah ‘ramuan’ yang perlu dibuktikan dalam CBT dan isu yang berkaitan dengan resit yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan bukanlah ‘bahan’ yang perlu dibuktikan dalam CBT.

“Resit itu adalah bahan bagi kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA). Sama ada ia adalah sama dengan RM42 juta dalam kes CBT bukanlah satu pertimbangan memandangkan bahannya berbeza,” katanya.

Menjawab hujah pihak pembelaan berkaitan kesahihan dan kebolehterimaan dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan sebagai bukti, Sithambaram berkata, berdasarkan Seksyen 71 AMLA, membolehkan pendakwa raya atau pihak berkuasa untuk mendapatkan apa-apa dokumen atau salinan dokumen di bawah akta itu.

“Undang-undang membenarkan ia untuk diterima,” katanya dan menambah Parlimen yang meluluskan undang-undang itu telah membuat perbezaan jelas mengenai bagaimana bukti itu ditunjukkan di bawah akta ini, iaitu pertuduhan yang dihadapi Najib.

Artikel Berkaitan:

Najib, 66, berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Bernama