KPDNHEP rampas lebih RM170,000 nilai barangan

Operasi pemantauan sepanjang musim perayaan akan dilakukan selama 14 hari bermula 20 Oktober lalu.
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Gua Musang mencatat nilai rampasan lebih RM170,000 dalam operasi yang diadakan sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Mohd Koma Shapii berkata, sepanjang tempoh itu, 93 kes telah diambil tindakan.

Menurutnya, ia merangkumi lima akta termasuk Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 33 kes, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (38), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (1), Akta Perihal Dagangan 2011 (7) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (14).

"Sebanyak 91 kes dikompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM44,100 manakala satu kes dituduh di mahkamah di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kita menasihati peniaga agar mematuhi peraturan menerusi akta yang telah ditetapkan. Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana peniaga yang ingkar.

"Pengguna juga diharap dapat membantu pihak kementerian dalam menyalurkan maklumat atau aduan berkait kenaikan harga barangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Pemantauan Kenaikan Harga Barang Keperluan Harian di Pasar Besar Gua Musang di sini.

Mohd Koma berkata, operasi itu akan dijalankan sepanjang musim perayaan Deepavali bermula 20 hingga 15 November ini selama 14 hari.

"Sebanyak 53 premis diperiksa dan secara keseluruhan, harga barang basah masih kekal seperti sebelum ini.

"Peniaga diberi peringatan supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan mengambil kesempatan di musim perayaan.

"Sepanjang Januari hingga Oktober, sebanyak 4,929 premis diperiksa melibatkan 3,404 premis di kawasan bandar dan 1,525 di luar bandar," katanya.