Bekas Ketua Pemuda Umno Pahang dipenjara, tipu RM1j

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang ahli perniagaan yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Pahang, Datuk Mohd Mustafa Mohd Khalid perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun hari ini atas sabitan menipu seorang pengarah urusan syarikat untuk menyerahkan wang RM1 juta berhubung projek Sistem Pengimbas.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Februari 2016 terhadap Mohd Mustafa .

Bagaimanapun panel itu mengetepikan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM300,000 atau penjara setahun yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac 2017.

”Keputusan kami adalah sebulat suara, kami membenarkan rayuan sebahagian. Kami berpendapat bahawa rayuan terhadap sabitan tidak mempunyai merit. Rayuan terhadap sabitan ditolak dan sabitan dikekalkan.

Rayuan terhadap hukuman dibenarkan. Hukuman Hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan hukuman Hakim Mahkamah Sesyen dikembalikan,” kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Mohd Mustafa dan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Mohd Mustafa, 56, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menaikkan hukuman penjara dari tiga tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen kepada lapan tahun selepas menolak rayuan Mohd Mustafa.

Dia perlu menjalani hukuman penjara itu hari ini kerana ini adalah rayuan terakhirnya berikutan kes yang bermula di Mahkamah Sesyen akan berakhir di Mahkamah Rayuan. Selepas keputusan itu, kelihatan Mohd Mustafa melambai tangan dan berkata sesuatu kepada dua anggota keluarganya yang hadir di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Februari 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Mohd Mustafa selepas didapati bersalah menipu Datuk Kamaludin Janis iaitu Pengarah Urusan NM Resource Sdn Bhd.

Dia telah memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa surat LOI daripada Kementerian Kewangan bertarikh 6 Julai 2009 dengan tajuk 'Cadangan Untuk Membekalkan Sistem Pengimbas Seratus Peratus Barangan Import Untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia Secara Sewaan' yang diberikan tertuduh kepada mangsa adalah tulen.

Lelaki itu dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang RM1 juta kepadanya kerana mendapatkan surat tersebut untuk mangsa, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan sedemikian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Hariharan berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap dalam menaikkan hukuman itu berdasarkan daripada keterangan tiga saksi pendakwaan termasuk Kamaludin.

Katanya mahkamah sepatutnya meneliti keterangan ketiga-tiga mereka kerana mereka juga mempunyai kaitan dalam kes itu.

Hamdan pula berhujah bahawa hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan Mohd Mustafa kerana dia telah mempedaya Kamaludin yang merupakan saksi pendakwaan ketujuh untuk mempercayai bahawa surat LOI itu dari Kementerian Kewangan sehingga mangsa menyerahkan wang RM1 juta kepada Mohd Mustafa.

Beliau juga berkata semasa perbicaraan kes itu, mahkamah diberitahu bahawa Kamaludin telah melantik seorang konsultan iaitu Amrul Nizar Anuar iaitu saksi pendakwaan ke -21 untuk mencari mana-mana parti politik yang boleh memberi kontrak Sistem Pengimbas bernilai RM12 juta itu.

Beliau berkata saksi ke- 21 itu memberitahu mahkamah bahawa tertuduh merupakan bekas Ketua Pemuda Umno Pahang mempunyai kedudukan dalam Umno dan mempunyai hubungan rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. - Bernama