X

Kindly register in order to view this article
!

Satu lagi magis di Stadium Shah Alam: B Sathianathan

B Sathianathan
A
A

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan memasang impian melihat satu lagi magis berlaku di Stadium Shah Alam, ketika berhadapan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kedua separuh akhir saingan Piala Malaysia 2019, Sabtu ini.

Selangor tewas 1-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dalam perlawanan pertama yang berlangsung sengit Sabtu lepas dan Sathianathan optimis barisan anak buahnya memiliki keupayaan untuk mengatasi skuad Harimau Selatan itu di Shah Alam.

Stadium Shah Alam sebelum ini menjadi saksi kebangkitan luar biasa Selangor, apabila menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir dengan keputusan agregat 3-2 selepas melakar kemenangan 3-1.

"Saya harap begitulah (kejayaan menewaskan Perak berulang) tetapi saya seorang jurulatih yang realisitik. Saya tahu kalau pemain bersedia dengan baik, kita mampu lakukan kerana ini bola sepak, apa-apa boleh berlaku meskipun menentang pasukan gergasi. Selangor masih ada harapan (mara ke final).

"Kalau saya tidak percaya dengan kemampuan pasukan saya dan kejutan yang boleh berlaku dalam bola sepak, saya akan bungkus segala barang-barang dan tidak akan turun ke stadium Sabtu ini," katanya.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu turut mencabar barisan tengah pasukannya 'mematikan' langkah gandingan bintang JDT Hariss Harun dan Leandro Velazquez, selepas kelibat dua pemain import itu menghadkan penguasaan bola Selangor di bahagian tersebut ketika perlawanan di Larkin.

"Harris dan Leandro pemain yang penuh dengan imaginasi dan sangat berpengalaman. Mereka adalah pemain tengah terbaik dalam liga kita dan saya cabar pemain tengah saya untuk lawan mereka di posisi itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata, sokongan padu penyokong Sabtu ini, mampu menjadi pendorong kebangkitan dan mengharapkan Stadium Shah Alam menjadi lautan 'Merah Kuning'.

Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia, apabila merekodkan kejuaraan sebanyak 33 kali dan kali terakhir Selangor muncul juara adalah pada edisi 2015. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!