Nahas Turki: Enam kakitangan PKNS sambung rawatan di Hospital Pakar Avisena

Dalam kemalangan pada 16 Oktober lepas, seorang warga kerja PKNS maut manakala 10 lagi cedera apabila bas pelancong dinaiki mereka di Turki hilang kawalan sebelum terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Enam kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang cedera dalam kemalangan di Turki meneruskan rawatan mereka di Hospital Pakar Avisena Seksyen 14, di sini selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Mereka adalah kumpulan terakhir yang kembali ke tanah air dari negara berkenaan selepas kumpulan pertama terdiri daripada 26 kakitangan PKNS dan pasangan mereka tiba pada Isnin lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim berkata, kesemua enam kakitangan PKNS itu dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 11.30 malam tadi untuk pemeriksaan lanjut dan setakat ini keadaan mereka adalah stabil.

Beliau berkata, enam ambulans dan pasukan perubatan hospital pakar tersebut ditempatkan di KLIA semalam bagi melancarkan proses membawa mereka ke hospital di samping memberi rawatan awal kepada kumpulan berkenaan.

Katanya, tiga kakitangan PKNS yang cedera itu dimasukkan ke wad biasa untuk rawatan lanjut manakala selebihnya diletakkan di wad pengawasan rapi.

“Dua kakitangan PKNS itu mengalami kecederaan patah tulang, seorang lukanya terbuka dan seorang lagi memerlukan pembedahan untuk stabilkan tulangnya. Hasil daripada rawatan setakat ini, kita dapati dua daripada enam kakitangan PKNS itu perlu menjalani pembedahan awal dan memerlukan rawatan susulan sehingga pulih sepenuhnya.

“Seorang lagi akan menjalani pembedahan lanjut kerana kecederaan yang agak serius. Bagaimanapun, kami akan pastikan kesemua pesakit berkenaan menerima rawatan terbaik semasa berada di hospital ini," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengarah Perubatan Hospital Pakar Avisena, Dr Abdul Razak Rahman Hamzah, Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek.

Sementara itu, Siti Zubaidah berkata, segala urusan proses dokumentasi perlindungan insurans kakitangan PKNS yang cedera di Turki itu berjalan dengan lancar malah kelulusan perubatan untuk pesakit menaiki pesawat juga diperoleh dalam tempoh 24 jam.

“Walaupun kakitangan PKNS yang cedera ini mempunyai masalah komunikasi dengan ahli kesihatan di Turki yang hanya mampu berbahasa Inggeris asas, namun mereka tetap cekal sehinggalah dapat kembali ke tanah air malam tadi,” katanya.

Dalam kemalangan pada 16 Oktober lepas, seorang warga kerja PKNS maut manakala 10 lagi cedera apabila bas pelancong dinaiki mereka di Turki hilang kawalan sebelum terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Jenazah kakitangan yang maut, Azalan Miswan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini pada malam Sabtu lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PKNS sahkan seorang kakitangan maut di Turki