Penebar roti canai didakwa bunuh polis bantuan wanita

Tertuduh dibawa keluar selepas dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Tertuduh dibawa keluar selepas dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anggota polis bantuan wanita di sebuah pangsapuri Damansara Damai, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Farreyl Haikal Abdullah didakwa membunuh Nor Aishah Abdullah, 25, antara jam 2 pagi pada 17 Oktober dan 12.45 tengah malam 18 Oktober lalu.

Pemuda berusia 22 itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, namun tiada pengakuan direkod.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 2 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, pihak polis menerima laporan daripada adik angkat mangsa yang memaklumkan wanita berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di rumah itu pada jam 12.40 tengah malam Jumaat lalu.

Ketika anggota bertugas tiba di lokasi, didapati rumah tersebut berada dalam keadaan tidak terurus, namun tiada sebarang kesan pecah masuk.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang berusia 25 tahun ditemui terlentang dengan kesan lebam di dahi, mata dan bawah leher hingga ke dada selain di bahagian muka terdapat kesan lebam serta pendarahan di hidung.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita itu akibat ditekup dipercayai menggunakan bantal sehingga menyebabkan halangan pada saluran pernafasan mangsa.

Siasatan lanjut mendapati rumah itu disewa suspek yang merupakan bekas rakan serumah mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki ditahan bunuh polis bantuan wanita