Tiada bukti vape selamat untuk rawat ketagihan merokok

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menegaskan bahawa tidak ada bukti atau kajian menunjukkan bahawa penggunaan vape dan rokok elektronik (e-cigarette) adalah selamat digunakan bagi merawat ketagihan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat bahawa cecair rokok elektronik itu selamat dan tidak memberi kesan jangka masa panjang kepada paru-paru.

“Kita faham industri vape ini penting kerana ia beri peluang pekerjaan kepada remaja tetapi kita mesti seimbangkan dari segi ekonomi dan impak kepada kesihatan.

“Kalau dilihat pada data sedia ada, kemungkinan vape ini tidak selamat seperti mana didakwa boleh digunakan sebagai ganti kepada rokok tetapi setakat ini, tidak ada bukti bahawa vape adalah berkesan untuk ganti rokok,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam mengawal penjualan vape dan rokok elektronik terutama kepada generasi muda.

Dr Lee berkata, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dalam usaha mengawal selia isu penggunaan vape dan rokok elektronik pada Jun lepas bertujuan mengawal penggunaan alat tersebut.

Merujuk soalan asal Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang meminta penjelasan KKM mengenai langkah membendung penjualan dalam talian vape dan rokok elektronik, Dr Lee berkata, pihaknya bekerjasama dengan pentadbir media sosial bagi menyekat mana-mana laman media sosial yang mempromosikan rokok elektronik.

“Pelbagai agensi serta pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digerakkan di bawah Jawatankuasa Kerja Pakar Bagi Memperkukuhkan Kawalan Rokok Elektronik.

“MCMC boleh melakukan sekatan ke atas laman web yang menjual cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin apabila terdapat permohonan oleh pegawai KKM yang diberi kuasa di bawah Akta Racun 1952,” katanya.

Dr Lee turut mendedahkan seramai 300,000 pelajar berusia antara 10 hingga 19 tahun merupakan pengguna vape semasa di negara ini dan data itu diperoleh menerusi ‘Kaji selidik terhadap tembakau dan e-rokok di kalangan orang dewasa di Malaysia’ yang dijalankan ke atas pelajar di sekolah awam dan swasta baru-baru ini. - Bernama