Pelaburan Pulau Pinang dijangka mencapai RM12 bilion tahun ini

Kon Yeow (tengah) menanam pokok sempena ulang tahun ke-50 PDC di Penang Science Park-North.
Kon Yeow (tengah) menanam pokok sempena ulang tahun ke-50 PDC di Penang Science Park-North.
A
A
A

BATU KAWAN - Pulau Pinang dijangka akan menerima aliran pelaburan masuk mencecah RM12 bilion menjelang akhir tahun ini dengan beberapa sektor yang dilihat sebagai penyumbang utama kepada perkembangan tersebut.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jangkaan jumlah itu telah melepasi rekod yang dicapai Pulau Pinang beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengadakan beberapa rundingan membabitkan sektor elektrik dan elektronik dalam mencapai angka bagi aliran pelaburan masuk tersebut.

"Kita menjangkakan dapat mencapai RM12 bilion bagi aliran pelaburan masuk ke negeri ini yang mana angka ini melepasi rekod dicapai beberapa tahun lalu. Kerajaan negeri yakin ia dapat dicapai berdasarkan beberapa rundingan yang sedang dibuat membabitkan sektor elektrik dan elektronik.

"Kedua-dua sektor ini antara penyumbang besar kepada pelaburan industri di Pulau Pinang. Rundingan yang sedang dibuat kini di peringkat akhir untuk ditandatangani sebelum dimeterai seterusnya dilaksanakan tahun hadapan," katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada program penanaman pokok sempena ulang tahun ke-50 Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Penang Science Park-North di sini tadi.

Menurutnya, angka tersebut hanya boleh diketahui selepas diumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kelak.

"Jika dilihat dengan perkembangan terkini (beberapa rundingan dibuat), saya percaya Pulau Pinang akan mencapai rekod RM12 bilion atau lebih dalam tempoh tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita bangga apabila Pulau Pinang terus memainkan peranan sebagai negeri yang menerajui pembangunan industri negara khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik. Malah pelaburan masuk (ke Pulau Pinang) juga kebanyakan daripada sektor ini," katanya.

Sehubungan itu, Kon Yeow berharap agar PDC akan terus memainkan peranannya dalam membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

"Bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi penjana ekonomi besar negara, saya berharap PDC akan terus bekerja keras dalam merebut peluang pelaburan yang datang. Kita perlu cekap merebut peluang terutamanya dalam situasi sekarang apabila berlakunya perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

"Ia melihatkan lebih banyak pelaburan masuk ke rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Pulau Pinang. Oleh itu, PDC perlu mengambil peluang ini, bukan sahaja daripada pelabur luar tetapi juga tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 100 pokok ditanam di kawasan Penang Science Park-North.

Program tersebut bermula pada Ogos lalu membabitkan penanaman 100 pokok di Persiaran Cassia Barat 3 serta kawasan sekitar dengan jumlah keseluruhan 506 pokok.

Selain itu, kerja landskap turut dilaksanakan di sepanjang taman perindustrian tersebut dengan kos keseluruhan RM936,398 sejak September lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengurus Besar PDC, Datuk Mohd Bazid Abdul Kahar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud.