AS sahkan pengunduran pejuang PKK, YPG

Kira-kira 2,000 tentera AS berada di Syria. - Foto AFP
Kira-kira 2,000 tentera AS berada di Syria. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada lewat Selasa mengesahkan bahawa pejuang Parti Pekerja-Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) telah berundur dari kawasan di utara Syria di mana Turki menjalankan Operasi Peace Spring, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan sumber diplomatik.

Pompeo berkata kepada Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu melalui telefon bahawa para pegawai tentera AS telah memaklumkan rakan sejawat mereka dari Turki mengenai pengunduran itu, menurut sumber diplomatik.

Pada 9 Oktober, Turki telah melancarkan Operasi Peace Spring bagi menghapuskan pengganas dari utara Syria di timur Sungai Euphrates bagi menjamin keselamatan di kawasan sempadan Turki, membantu kepulangan selamat pelarian Syria dan memastikan integriti wilayah Syria.

Ankara bersetuju dengan Washington pada 17 Oktober untuk menghentikan seketika operasi ketenteraannya bagi membolehkan pejuang YPG berundur dari zon selamat yang dirancang itu.

Pada Selasa, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin mengadakan satu pertemuan 'bersejarah' di pekan pusat peranginan Laut Hitam iaitu Sochi beberapa jam sebelum tempoh menghentikan seketika operasi itu berakhir.

Ankara dan Moscow mencapai kata sepakat yang menyaksikan pengunduran pejuang PKK/YPG sejauh 30 kilometer (19 batu) dari sempadan Turki dengan utara Syria dalam tempoh 150 jam manakala pasukan keselamatan dari Turki dan Rusia akan menjalankan rondaan bersama di sana.

Dalam kempen keganasannya selama lebih 30 tahun ke atas Turki, PKK yang disenaraikan sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah telah bertanggungjawab atas kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi. - Bernama

Artikel Berkaitan: