Ada sebab Kedah beli kereta Toyota Camry untuk Exco: Summugam

Summugam
Summugam
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah membeli kereta baharu jenis Toyota Camry untuk kegunaan Exco pada tahun ini kerana mengambil kira faktor keselamatan.

Exco Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, R Summugam memberi penjelasan bahawa Kerajaan Kedah turut membuat pembelian kereta baharu berdasarkan keputusan bersama.

Menurut beliau, pembelian kereta berkenaan juga dilakukan dengan terperinci memandangkan kenderaan digunakan sebelum ini memerlukan kos penyelenggaraan tinggi dan penggunaan lebih lima tahun.

"Malah kerajaan negeri membuat keputusan membeli kereta buatan luar negara lebih awal daripada tarikh pelancaran kempen membeli barangan buatan Malaysia pada 21 September lalu.

"Namun ia bukan bermakna kerajaan negeri tidak mengiktiraf kualiti dan keupayaan produk buatan Malaysia tetapi pembelian dilakukan kerana mengambil kira segmen dan model kereta sebagai kenderaan rasmi negeri," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Mohamad Yusoff Zakaria (Pas-Kuala Nerang) berkaitan justifikasi Kerajaan Kedah membeli kereta buatan luar negara untuk kegunaan Exco ketika kerajaan sedang giat mengadakan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau berkata, selain atas faktor keselamatan, pembelian kereta baharu juga dibuat kerana kenderaan digunakan beliau pernah mengalami kerosakan.

Sementara itu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kereta baharu dibeli memandangkan kenderaan digunakan Exco sebelum ini didapati sudah tidak tahan lama dan mengalami kerosakan disebabkan bergerak di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

"Daripada keseluruhan hanya dua sahaja tidak ditukar dan masih menggunakan kereta lama kerana kenderaan tak tahan, 'seat' sudah hilang spring, 'bumper' longgar dan sebagainya," katanya.

"Kenderaan yang tidak dipakai itu ada yang dijual manakala ada yang digunakan jabatan lain," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) keadaan kerosakan dan sama ada kenderaan tidak dipakai digunakan jabatan lain.