MyAqsa lengkapkan laporan heret Israel ke mahkamah

Dari kiri: Noorazman, Walid, Lukman dan Wan Rohimi Wan Daud (peguam MyAqsa).
Dari kiri: Noorazman, Walid, Lukman dan Wan Rohimi Wan Daud (peguam MyAqsa).
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan lengkap untuk mengheret Israel ke mahkamah kerana meroboh dan memaksa penduduk Palestin berpindah dari kediaman mereka akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), The Hague, Belanda.

Ketua Delegasi Undang-Undang Yayasan MyAqsa, Lukman Sheriff Alias berkata, laporan tersebut akan diserahkan pada akhir tahun ini.

"MyAqsa sedang menyiapkan laporan tersebut dan akan menyerahkannya pada akhir tahun ini," katanya.

Menurutnya, prosiding pendakwaan terhadap Israel dijangka dilakukan pada pertengahan tahun hadapan.

"Ini kerana pihak pendakwa raya memerlukan tempoh untuk menyiasat dan memanggil saksi sebelum proses pendakwaan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, MyAqsa berkeyakinan, dengan bukti-bukti yang dikumpul dan diperolehi pihaknya, ICC tidak mempunyai pilihan lain selain mendakwa Israel dengan kadar segera.

"Kami telah ke Tebing Barat pada awal bulan ini untuk bertemu secara terus dengan mangsa bagi mengumpul dan mengambil keterangan secara langsung mengenai aktiviti Jenayah Terhadap Kemanusiaan yang dilakukan rejim Israel terhadap mereka," katanya.

Lukman berkata, jenayah dilakukan rejim Israel itu merupakan salah satu jenayah yang diperuntukkan di dalam Statut Rom, ICC.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, Israel telah melanggar Resolusi 2334 apabila mereka secara berterusan membina penempatan baharu untuk kaum Yahudi di tanah milik rakyat Palestin.

"Sedangkan menurut Resolusi 2334 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB pada tahun 2016, Israel telah diminta untuk menghentikan serta merta kesemua aktiviti penempatan baru untuk penduduk Yahudi di bumi Palestin," katanya pada sidang media berhubung misi khas tersebut di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyAqsa, Noorazman Mohd Samsuddin dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Mengulas lanjut mengenai lawatan delegasi khas pada awal Oktober lalu, Lukman berkata, pihaknya dibawa ke penempatan Palestin yang seringkali berhadapan dengan pencerobohan Israel iaitu di Wadi Al-Hummus, Issawiyya dan At-Tur (Bukit Zaitun) yang terletak di Baitulmaqdis, Tebing Barat, Palestin.

"Selama tiga hari berada di sana, kami sempat bertemu dan menemurah lebih 20 orang mangsa dan pemilik tanah Palestin yang sah di mana rumah mereka dirobohkan oleh rejim Israel secara zalim.

Keterangan mereka telah diambil secara terperinci dan dirakamkan untuk dibuktikan di ICC," katanya.

Menurutnya, Israel mengamalkan cara sistematik dan terancang untuk mengubah demografi kawasan yang didudukinya secara haram dengan cara salah.

"Mereka (Israel) robohkan rumah rakyat Palestin atas alasan faktor keselamatan kerana berdekatan Tembok Pemisah sedangkan pada 2004 ICC telah memutuskan tembok berkenaan tidak sah dan salah," katanya.

Selain itu, Israel turut menggunakan alasan tidak munasabah seperti tiada permit pembinaan untuk meroboh kediaman warga Palestin.

Malahan katanya, ada mangsa memberitahu rumahnya dirobohkan setelah ahli keluarga mereka ditangkap dan dipenjarakan oleh Israel.

Sementara itu Walid berkata, MyAqsa satu-satunya pihak mewakili rakyat Palestin untuk membawa kes berkenaan ke ICC.

"Terima kasih kepada MyAqsa, kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada kami," katanya.