PKPB bantu belia tercicir

A
A
A

PRIHATIN nasib golongan belia tercicir dari pekerjaan, pendidikan dan latihan formal atau istilah lebih dikenali Not in Employment, Education and Training (NEET), Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menagih perhatian.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, kerajaan diminta menyediakan inisiatif tertentu berbentuk geran atau pinjaman latihan dan latihan kemahiran tidak formal kepada golongan tersebut.

Menurutnya, manakala pihak majikan pula diminta tidak meletakkan syarat kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk diambil bekerja dan memberi peluang golongan ini membina kemahiran dan pengalaman di tempat kerja.

“Golongan NEET dikenali sebagai kelompok belia tercicir dari arus pembangunan iaitu belia tidak tergolong dalam guna tenaga, tidak terlibat dengan sebarang program pendidikan dan tidak mengikuti sebarang program latihan kemahiran.

“Industri boleh bekerjasama dengan penyedia latihan atau badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan NEET di kalangan belia agar dapat bangkit dari masa lalu. Golongan ini perlu dibimbing sebelum dan semasa di alam pekerjaan bagi suatu tempoh tertentu,” katanya.

Menurutnya, salah satu punca utama wujudnya golongan NEET adalah dari faktor sosioekonomi dan pengaruh ibu bapa, selain remaja daripada golongan keluarga berpendapatan rendah dan terlibat dengan pelbagai masalah sosial lebih berkemungkinan untuk gagal dan tidak menyambung persekolahan mereka.

Rizan berkata, kurang pengalaman, kemahiran dan kebolehan berkomunikasi turut menjadi salah satu faktor belia terpinggir daripada peluang pekerjaan dan tergolong dalam kumpulan NEET.

“Ramai belia di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman atau luar bandar belum bersedia untuk keluar kerana faktor tempat latihan ditawarkan jauh di Semenanjung Malaysia atau di bandar-bandar yang mana mereka terpaksa menggunakan belanja lebih besar.

Artikel Berkaitan:

“Sesetengah mereka menyatakan menyambung pelajaran atau latihan memerlukan masa panjang sedangkan tiada jaminan mendapat pekerjaan dengan sijil diperoleh (kebolehpekerjaan),” katanya yang tidak menafikan masalah peribadi seperti faktor kesihatan turut membataskan golongan belia mendapatkan pekerjaan, menyambung pelajaran dan pendidikan.

Menurutnya, PKPB melihat dengan mewujudkan inisiatif tertentu dan mempromosikannya secara meluas akan dapat menarik minat golongan NEET untuk bersama bergerak ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial lebih baik.

Namun katanya, tanpa komitmen dan kesungguhan industri atau majikan menawarkan pekerjaan maka usaha ini tidak akan membuahkan hasil.

Tumpuan berasingan

Dalam pada itu, PKPB turut memberi respon Laporan Kajian Peralihan Sekolah Ke Pekerjaan (STWS) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Rizan berkata, laporan berkenaan dilihat mencerminkan keadaan anak muda di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada golongan belia Malaysia berumur 15 hingga 29 tahun dari segmen di sekolah menengah, di institusi pengajian tinggi, sedang mencari kerja dan sedang bekerja.

“Namun, PKPB berharap di masa akan datang kumpulan belia di institusi latihan kemahiran (ILK) perlu diberi penumpuan berasingan dari belia di institusi pengajian tinggi (IPT) agar keberkesanan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan kebolehpekerjaan graduan TVET dapat di lihat dan dinilai.

“PKPB bersetuju golongan muda mahukan gaji lebih tinggi bersesuaian kelayakan kemahiran dan akademik diperoleh namun pencari kerja juga perlulah realistik dengan tuntutan berkenaan. Justeru, PKPB melihat sudah tiba masanya “Job Coach” diberi peranan agar dapat membantu belia IPT dan ILK dalam hal pembangunan kerjaya, matlamat profesional dan strategi kejayaan apabila berada di tempat kerja untuk jangka panjang,” katanya.

Menurutnya, tanggapan bahawa lulusan TVET adalah mudah untuk diterima bekerja dan berpendapatan tinggi perlu diperbetulkan.

Rizan berkata, ini kerana mereka juga terkesan dengan kesan kemasukan pekerja asing terlalu ramai yang akhirnya menjejaskan kadar upah bagi kemahiran mereka miliki.

“Pada masa sama, mereka seolah-olah “belajar sejarah teknologi” dan bukannya mempelajari teknologi terkini kerana latihan yang diberikan semasa di ILK masih mengguna pakai teknologi lama.

“PKPB percaya konsep perantisan atau “apprenticeship” adalah yang terbaik jika bercakap soal melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan memenuhi keperluan industri,” katanya.