Anwar 'tidak terkesan' kenyataan Azmin

Anwar menyifatkan kenyataan Mohamed Azmin yang menyarankan supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal sebagai kenyataan peribadi.
Anwar menyifatkan kenyataan Mohamed Azmin yang menyarankan supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal sebagai kenyataan peribadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak terkesan dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencadangkan agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir kekal mentadbir negara selama sepenggal.

Tegas Anwar, dalam sistem demokrasi, keputusan memilih Perdana Menteri terletak sepenuhnya kepada pihak yang memerintah.

“Itu kenyataan peribadi (kenyataan Mohamed Azmin), saya dah ulas dan keputusan ini dalam mana-mana sistem demokrasi, ia keputusan parti yang memerintah.

“Maknanya saya serah kepada Majlis Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya wajarkah Ahli Parlimen Gombak itu mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan beliau berjawatan tinggi dalam kerajaan dan parti, Anwar hanya menjawab:

“Tak apalah, kita faham latar belakang,” jawabnya ringkas tanpa menerangkan maksud sebenar beliau kepada media.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan Mohamed Azmin tidak membangkitkan isu tersebut semasa mereka bertemu minggu lepas.

Semalam, Mohamed Azmin berkata, mereka yang mahukan kerajaan setahun atau dua tahun merupakan kerajaan pintu belakang.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, beliau turut mencadangkan agar Dr Mahathir kekal mentadbir negara selama sepenggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan 'pintu belakang': Itu kenyataan kumpulan terdesak!

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mempertikaikan kepimpinan Dr Mahathir dalam PH adalah bersifat peribadi.

"Itu pandangan peribadi Ronnie Liu dan pandangan saya PH terdiri daripada parti-parti gabungan PKR, DAP, Amanah (Parti Amanah Negara) dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Bersatu memainkan peranan yang sangat konstruktif, Bersatu adalah komponen penting dalam PH," katanya.