Pelaburan China bantu Malaysia

Anthony (empat, kiri) bersalam dengan Bai Tian dalam lawatan kerja ke CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd di Batu Gajah, hari ini.
Anthony (empat, kiri) bersalam dengan Bai Tian dalam lawatan kerja ke CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd di Batu Gajah, hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Malaysia berpotensi menjadi hab utama industri pembuatan dan pemasangan kereta api untuk pasaran serantau Asean.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perancangan itu boleh direalisasikan sekiranya syarikat pembuatan kereta api terbesar dari China, China Railway Rolling Stock (CRRC) Corp sedia melanjutkan pelaburannya di negara ini.

“Saya menjemput CRRC untuk melabur dalam kilang pemasangan ini kerana yang sedia ada dapat memasang 200 ‘train car’ setahun untuk pasaran dalam negara sahaja.

“Pelaburan itu dapat meningkatkan kapasiti pemasangan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan ‘rolling stock’, peralatan kereta api untuk dieksport ke negara Asean,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya bersama Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian di CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Menurutnya, kerjasama yang sedia terjalin itu berjaya membentuk peluang pekerjaan selain menggalakkan pemindahan teknologi dan perolehan tempatan.

“Sehingga kini, kira-kira 85 peratus pekerja kilang adalah penduduk tempatan dan pihak CRRC turut menghantar pekerja ke China untuk bina kemahiran.

”Bagaimanapun, untuk merealisasikan perkara itu, kita perlukan pelaburan dari China kerana kita tiada kepakaran tempatan dan teknologinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anthony berkata, industri kereta api mempunyai pasaran yang luas terutama negara-negara membangun termasuk bandar besar seperti Bangkok dan Jakarta.

“Kereta api urban menjadi pilihan seperti transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), metro selain lokomotif dan kereta api kargo dalam pasaran Asean itu,” katanya.

Sementara itu, Bai Tian berkata, CRRC adalah projek kerjasama paling berjaya antara dua negara, Malaysia dan China.

“Kedua-dua ini mempunyai visi yang sama untuk meneroka pasaran Asean dalam pembuatan dan perbekalan peralatan kereta api. Saya percaya syarikat Malaysia dan China berpotensi besar dalam perancangan itu. Perdagangan dua hala ini akan mengorak lebih jauh.

"China telah melabur 400 produk di negara ini yang bernilai 110 billion dolar AS yang telah mewujudkan 68,00 peluang pekerjaan,” katanya.

CRRC Rolling Stock Center ditubuhkan pada 2015 dengan kos RM400 juta dan menjadi satu-satunya pusat pembuatan kereta api Asean di negara ini.