Rugi RM12,000 selepas serah maklumat bank pada 'SPRM'

MOHD WAZIR
MOHD WAZIR
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengusaha sekolah memandu menjadi mangsa 'scammer' yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan polis sehingga kerugian lebih RM12,000, Isnin lalu.

Mangsa berusia 35 tahun diperdaya sehingga menyerahkan maklumat kad bank dan perbankan internet kepada suspek sebelum menyedari wang dalam akaun banknya dipindahkan tanpa kebenaran oleh pihak tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai SPRM Putrajaya 21 Oktober lalu berkaitan cukai syarikat dan diberitahu sebuah syarikat atas namanya dikesan tidak membayar cukai dan kini dalam proses tindakan undang-undang.

"Bagi tujuan semakan, panggilan disambung kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan mendapati mangsa juga turut dikehendaki berkait kes pengubahan wang haram," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian diarahkan supaya menyerahkan maklumat kad bank dan perbankan internetnya bagi tujuan siasatan.

"Mangsa akur dengan arahan itu apabila dia berbuat demikian dengan memberikan maklumat tersebut melalui satu pautan laman sesawang diberikan suspek.

"Selepas menyerahkan maklumat itu, mangsa membuat semakan terhadap akaun banknya pada hari yang sama dan mendapati terdapat transaksi pindahan wang ke dalam akaun atas nama dua lelaki tidak dikenali dengan jumlah keseluruhan RM12,890," katanya.

Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut mengesan dua individu pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.