Siapa Jeff Bezos?

Seorang pelajar Sekolah Tinggi Dunbar di Washington (baju hitam) dirakam bertanya siapa, Jeff Bezos kepada rakannya.- Foto Twitter/@CTuckerNews
A
A

WASHINGTON - Jeff Bezos mungkin lelaki terkaya di dunia namun bagi seorang pelajar sekolah tinggi di Washington, Amerika Syarikat (AS), pengasas syarikat e-dagang, Amazon itu cuma seorang insan biasa.

Menerusi satu rakaman video tular oleh petugas NBC, Caroline Tucker, menyaksikan Bezos mengadakan lawatan mengejut ke sebuah kelas komputer sains tajaan syarikatnya di Sekolah Tinggi Dunbar di Washington DC Isnin lalu.

Ketika Bezos berinteraksi dengan para pelajar dan mula bercakap tentang program 'Future Engineer' Amazon yang menaja pelbagai kursus sekitar AS, seorang pelajar lelaki dirakam bertanya,'Siapa Jeff Bezos?' sebanyak dua kali kepada seorang lagi pelajar yang duduk dibelakangnya.

Apabila diberitahu bahawa Bezos merupakan pemilik salah satu syarikat terbesar di dunia, dia hanya berpaling tanpa mempamerkan sebarang keterujaan.

Tidak lama kemudian, Bezos dilihat bercakap dengan pelajar terbabit yang bercerita kepadanya tentang projek komputer.

Bezos dilaporkan memuji kepetahan remaja terbabit dan memberikannya kata-kata semangat.

Menurut laporan New York Post, guru kelas terbabit berkata, hanya tiga daripada 15 pelajarnya mengenali siapa Bezos ketika dia melangkah masuk ke kelas berkenaan.

Bezos, yang juga pemilik Washington Post merupakan lelaki terkaya di dunia dengan kekayaan dianggarkan bernilai AS$110 bilion (RM460.73 bilion). - Agensi