Hutang sudah dibayar masih perlu bayar sekali lagikah, soal Najib

Najib
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditanggung kerajaan sebanyak RM50.7 bilion seperti yang didedahkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Najib yang meluahkan perkara tersebut di laman Facebooknya berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Guan Eng hanyalah semata-mata untuk mempertahankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disebabkan ramai tidak percaya serta memperlekehkan beliau bahawa negara hampir muflis kerana 1MDB.

Namun, menurutnya, jika diperhatikan pecahan hutang dan faedah hutang RM50.7 bilion itu mendapati merupakan jumlah keseluruhan hutang serta faedah yang 1MDB perlu bayar sehingga tahun 2030.

Najib mendedahkan bukti bahawa Guan Eng hanya bercakap bohong berkenaan hutang 1MDB mencecah RM50.7 bilion.
Najib mendedahkan bukti bahawa Guan Eng hanya bercakap bohong berkenaan hutang 1MDB mencecah RM50.7 bilion.

"Itulah sebab prinsipal sukuk RM5 bilion itu perlu membayar faedah RM5.7 bilion. Lagi pelik ialah hutang dan faedah yang telah dibayar sebanyak RM8.9 bilion setakat ini juga dimasukkan dalam pengiraan beban hutang RM50.7 bilion ini.

"Hutang sudah dibayar masih perlu dibayar sekali lagi ke?. Standard akaunting negara mana yang Guan Eng guna? Kalau kita tolak hutang yang sudah dibayar itu, beban sebenar hutang serta faedah 1MDB sehingga tahun 2039 adalah RM41.8 bilion.

"Adakah RM41.8 bilion ini yang perlu dibayar secara ansuran sehingga RM2039 bakal mufliskan negara? Mari kita selidik sedikit lagi. Tahun lepas sahaja, kerajaan PH telah tambah RM54.2 bilion kepada hutang negara.

Sehingga hari ini, kerajaan PH telah menambah RM67.4 bilion lagi kepada hutang negara dalam tahun ini.

"Jadi maksud Guan Eng ialah hutang campur faedah 1MDB sehingga tahun 2039 sebanyak RM41.6 bilion akan mufliskan negara tapi dia pinjam RM54.2 bilion tahun lepas dan RM67.4 bilion tahun ini tidak mufliskan negara?. Kenapa pula Guan Eng sentiasa sebut hutang tapi tak pernah sebut aset 1MDB pula?," tulisnya

Reaksi netizen yang menyokong kenyataan yang dikeluarkan Najib melalui laman Facebooknya.
Reaksi netizen yang menyokong kenyataan yang dikeluarkan Najib melalui laman Facebooknya.

Perkongsian posting Najib kira-kira jam 6 petang tadi kini tular di media sosial dan rata-rata netizen menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Presiden UMNO itu.

Wan Sarawak memberitahu "Terbaik bossku, lawan ikut fakta bukan auta, suatu hari nanti pasti kebenaran akan terserlah. InsyaALLAH saya mendoakan bossku sentiasa di dalam lindungan ALLAH SWT. Amin,".

"Setakat ini keseluruhan kerajaan PH masih gagal untuk menandingi kehebatan Datuk Seri Najib dalam berhujah sesuatu isu negara," tulis Mykamarz Kamaruddin di Facebook.