Ada penerima tarik diri Program Subsidi Petrol: Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (kanan) semasa sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2019-2023 di KPDNHEP hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) semasa sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2019-2023 di KPDNHEP hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima maklumat bahawa ada sebilangan rakyat yang jujur dan menarik diri sebagai penerima Program Subsidi Petrol (PSP) kerana merasa dirinya tidak layak untuk bantuan itu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka menarik diri selepas membuat semakan di portal psp.kpdnhep.gov.my dimana penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh menyemak kelayakan mereka untuk PSP.

“Dalam satu rekod, penerima terbabit memaklumkan ibunya (penerima BSH) di kampung mendaftarkan namanya (bagi kenderaan) akan tetapi beliau mengakui sudah mempunyai pendapatan yang besar. Atas faktor itulah, penerima terbabit mahu menarik diri.

“Ini menunjukkan adanya rakyat Malaysia yang jujur dan ini jelas bahawa kewujudan portal itu langkah yang tepat bagi mengemaskini penerima PSP yang tersenarai dalam BSH,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) KPDNHEP 2019-2023 di sini hari ini.

Seramai 2.9 juta penerima BSH daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan PSP boleh menyemak kelayakan mereka melalui portal berkenaan.

Bagi penerima bantuan yang tercicir, mereka boleh melengkapkan maklumat melalui fungsi rayuan dalam portal itu.

Data penerima PSP daripada golongan B40 itu adalah berdasarkan data asas penerima BSH yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan, dan ia disilang semak dengan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Penerima di bawah PSP akan menikmati subsidi petrol RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan, untuk pemilik motosikal, dan subsidi akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan di mana pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin Nasution berkata, seramai 1.7 juta pelayar sudah mengunjungi portal PSP berkenaan. - Bernama