Kampung Baru: Rundingan harga dengan pemilik atau waris - Khalid

Khalid Abdul Samad. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan mengenai tawaran dan rundingan harga hanya akan dilakukan dengan pemilik dan waris, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengenai isu tanah lot di Kampung Baru di sini.

Khalid berkata, sekiranya waris sendiri atau pemilik yang terdapat sebarang kemusykilan dan mahu mengajukan pertanyaan, mereka boleh berjumpa dengannya.

"Jika mereka ada soalan, mereka boleh datang bertanya saya.

"Saya hanya mahu ‘deal’ dengan pemilik sahaja bukan persatuan atau sebagainya yang kononnya menjadi wakil pemilik,” katanya dipetik dalam laporan sebuah portal tempatan hari ini.

Beliau berkata, terdapat pihak yang cuba untuk memastikan perancangan pembangunan Kampung Baru yang direncanakan kerajaan pada masa ini gagal menerusi tawaran dan rundingan harga.

Menurutnya, dalam soal ini, tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa tawaran yang diberikan kerajaan baru-baru ini adalah tawaran yang terbaik.

"Ini merupakan tawaran yang terbaik walaupun kononnya terdapat beberapa individu yang ingin membeli tanah Kampung Baru dengan harga yang lebih tinggi.

“Walaupun sebelum ini ada pihak yang menyebut tentang tawaran harga tinggi namun sehingga kini tiada siapa yang membuat tawaran seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pemilik dan pewaris akan diberi tempoh masa tertentu seperti penghujung tahun ini sebelum mengemukakan maklum balas tentang tawaran baharu.

Ahad lalu, Khalid mengumumkan bahawa pengumuman terperinci berhubung pengambilan tanah Kampung Baru akan dibuat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, Khamis ini.

Jelasnya, beliau sudah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berhubung isu berkenaan.

“Secara umumnya, dalam pertemuan saya dengan Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, saya dapati mereka kelihatan begitu positif, begitu seronok dan yakin dengan apa yang telah dan sedang berlaku.

“Ramai menggambarkan satu sikap yang optimistik, yang positif dan optimis bahawa kali ini Insya-Allah apa yang sedang dibentangkan dan diusahakan akan dapat mencapai kejayaan. Dari segi perinciannya, Khamis nanti,” katanya.