X

Kindly register in order to view this article
!

Bunuh kerat lapan: Keluarga harap pembunuh dihukum seadilnya

Norhafizah menunjukkan gambar Allahyarhamah Norfazera yang tular di media sosial dan berharap netizen tidak lagi berkongsi gambar-gambar arwah adiknya.
A
A

MELAKA TENGAH - Keluarga kepada dua beranak mangsa pembunuhan kejam, Norfazera Bidin, 27 dan anak, Muhammad Iman Asraf,11 mengharapkan keadilan buat mereka dan individu yang terlibat dikenakan hukuman setimpal.

Kakak sulung mangsa, Norhafizah Bidin, 33, berkata, walaupun mereka sekeluarga reda dengan pemergian adiknya yang mesra dipanggil Baby dan anak saudara, Iman, namun mereka berharap pembunuh dijatuhkan hukuman seadil-adilnya.

"Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan di setiap sudut dengan lebih terperinci dan menyeluruh," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Rumah Pangsa Pegaga Taman Merdeka, Batu Berendam di sini hari ini.

Norhafiza yang turut meluahkan kerinduan terhadap arwah Baby dan Iman, namun dia harus reda dan kuat.

Malah katanya, setiap kali perasaan rindu menerpa, dia lantas membacakan al- Fatihah dan berdoa moga roh adik dan anak saudaranya dicucuri rahmat.

Menurutnya, sudah tentu gambar kenangan insan tercinta itu menjadi tatapan pengubat rindu bukan sahaja ahli keluarga yang rasa kehilangan malah saudara mara juga merasai ketiadaan mereka.

"Arwah Baby dan Iman sangat disenangi semua dan rapat dengan sanak- saudara.

"Dulu ada gelak tawa mereka di rumah ini, kegembiraan di wajah mereka, sekarang tiada lagi, dan pasti itu yang kami rindui selalu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak dikerat lapan: Mayat ditemui sah milik dua beranak

Dia turut memberitahu, adiknya, Munirah yang baharu berkahwin Ahad lalu juga dalam proses untuk menjadikan anak bongsu arwah yang mesra dipanggil Jebat sebagai anak angkat menerusi prosedur perangkatan demi masa depan anak itu.

Norhafizah berkata, mereka sekeluarga turut meminta netizen tidak terus menerus berkongsi gambar arwah adiknya di media sosial.

"Kami sekeluarga harap netizen hentikan berkongsi atau memaparkan gambar arwah kerana itu akan memburukkan lagi emosi kami sekeluarga," katanya.

Malam tadi Sinar Harian melaporkan jenazah dua beranak yang dikerat lapan anggota badan sebelum dibuang di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong minggu lalu selamat dikebumikan.

Terdahulu, jenazah Norfazera dan anak lelakinya dikebumikan dalam satu liang lahad bersebelahan sebelah kubur ayahnya lebih kurang jam 12.10 tengah malam di Tanah Perkuburan Islam Bertam Malim.

Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan sekurang-kurangnya lapan bahagian anggota badan manusia dipercayai milik lebih seorang individu yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong.

Ekoran itu, polis menahan seorang lelaki warga Singapura yang merupakan suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan yang akan tamat tempoh reman Jumaat ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf