X

Kindly register in order to view this article
!

16 juta kanak-kanak kurang nutrien

Seorang kanak-kanak di Yemen yang mengalami kurang nutrien ditimbang di sebuah hospital di wilayah Hajjah. - Foto: AFP
A
A

NEW YORK - Kira-kira 16 juta kanak-kanak dilaporkan kurang nutrien di Timur Tengah dan Afrika Utara akibat konflik di rantau itu.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memaklumkan, kanak-kanak yang terjejas berusia bawah lima tahun dan mereka tidak diberi makanan berkhasiat.

"Meskipun terdapat beberapa penambah baikan dalam menangani masalah nutrisi, namun trend keseluruhan dalam pemakanan kanak-kanak telah mula berubah atau bertambah buruk sejak tahun 2000 di dua rantau berkenaan.

"Hampir 11 juta budak menderita malnutrisi kronik termasuk lebih tujuh juta kanak-kanak terbantut dan 3.7 juta lagi kurang sihat," menurut organisasi itu.

Risiko kematian bagi kanak-kanak menderita malnutrisi kronik yang tidak mendapatkan rawatan juga adalah 11 kali lebih tinggi berbanding rakan mereka yang sihat.

Di Yemen, dianggarkan dua juta budak kurang nutrien termasuk hampir 360,000 kanak-kanak bawah lima tahun yang menghadapi masalah sama sedang berjuang untuk meneruskan hidup.

Pengarah Serantau Unicef untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Ted Chaiban berkata, kanak-kanak dari masyarakat miskin dan paling terpinggir menyumbang bahagian terbesar bagi semua kanak-kanak kekurangan nutrien.

Ia juga sekali gus mendorong kepada kemiskinan merentasi generasi.

"Kanak-kanak yang kelaparan tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah atau belajar. Mereka yang terbantut pula berpotensi meraih pendapatan lebih rendah sebagai orang dewasa," katanya.

Bagi menyelesaikan masalah kurang nutrien, Unicef berkata, ia hanya boleh dilakukan melalui usaha bersepadu daripada kerajaan, sektor swasta, penderma dan sektor utama termasuk kesihatan, pendidikan, air, kebersihan dan perlindungan sosial. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!