Menteri Luar China kecam keganasan di Hong Kong

Menteri Luar China, Wang Yi ketika temuramah bersama AFP di Paris semalam. - Foto: AFP
Menteri Luar China, Wang Yi ketika temuramah bersama AFP di Paris semalam. - Foto: AFP
A
A
A

PARIS - Menteri Luar China mengecam protes prodemokrasi yang membelenggu Hong Kong selama berbulan-bulan sebagai keganasan selain menuduh kuasa asing dan media antarabangsa menyemarakkan lagi krisis politik hab kewangan Asia berkenaan.

Komen menerusi temuramah eksklusif bersama AFP itu merupakan kecaman terus daripada seorang pegawai kanan China berhubung bantahan besar-besaran yang tercetus lima bulan lalu dan menyaksikan jutaan penunjuk perasaan menuntut demokrasi.

"Apa yang berlaku di Hong Kong kini sama sekali bukan protes aman.

"Ia merupakan keganasan dan perbuatan tersebut tidak boleh diterima di mana-mana negara," kata Wang Yi dalam temuramah bersama AFP ketika lawatan ke Paris semalam.

Yi turut menuduh penunjuk perasaan menyerang pihak polis, orang awam dan melumpuhkan sistem pengangkutan.

China juga menyalahkan kuasa asing sebagai penyebab kekecohan di Hong Kong, merujuk kepada komen beberapa ahli politik Barat yang menyokong protes berkenaan.

"Terdapat kuasa asing yang menyokong keganasan ini bertujuan untuk menggugat kestabilan Hong Kong, mencetuskan kekecohan dan memadamkan kemajuan yang dicapai sejak dasar satu negara, dua sistem diterapkan.

"Tindakan sedemikian tidak akan berjaya," kata Yi sambil menambah kerajaan Hong Kong mampu untuk mengembalikan rasa hormat terhadap peraturan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang menegaskan Hong Kong akan meneruskan formula satu negara, dua sistem dengan sokongan Beijing turut menyalahkan beberapa media asing kerana melabel keganasan tersebut sebagai tindakan demokratik dan aman, berbeza sama sekali dengan realiti sebenar.

Ketiadaan penyelesaian politik dalam masa terdekat pula menyebabkan insiden pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa Hong Kong semakin berleluasa. - AFP