KPDNHEP lancar Pelan Antirasuah Organisasi: Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (dua, kanan) meneliti isi kandungan Pelan Antirasuah Organisasi KPDNHEP 2019-2023 selepas melancarkan pelan itu pada majlis Perhimpunan Bulanan di KPDNHEP hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin Nasution (dua, kanan) meneliti isi kandungan Pelan Antirasuah Organisasi KPDNHEP 2019-2023 selepas melancarkan pelan itu pada majlis Perhimpunan Bulanan di KPDNHEP hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2019-2023, sekali gus menjadi kementerian pertama berbuat demikian.

Pelan yang dilancarkan menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu memfokuskan kepada empat bidang keutamaan iaitu penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perolehan awam serta tadbir urus dan berintegriti tinggi.

Saifuddin berkata, kementerian itu mempunyai 3,000 kakitangan dan 2,300 daripadanya adalah pegawai penguat kuasa yang mungkin terdedah dengan hal berkaitan integriti dan rasuah, selain mempunyai 11 akta yang membabitkan bidang penguatkuasaan.

"Pelan ini akan digerakkan ke semua kakitangan supaya mereka memahami dan menjalankan tugasan mereka dan mengetahui apa yang perlu dan dielakkan ketika menjalankan tugas," katanya dalam sidang media selepas pelancaran pelan itu pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Saifuddin berkata, empat bidang keutamaan itu dipilih berasaskan isu dan cabaran yang dihadapi serta memberi impak kepada kementerian yang bertanggungjawab untuk melindungi hak-hak pengguna dan peniaga.

"Walaupun kementerian tidak terlibat banyak dengan perolehan, namun bidang-bidang lain seperti penguat kuasa, perlesenan, pembayaran subsidi, masih kita anggap penting bagi kementerian beri tumpuan dalam aspek membina integriti yang tinggi," katanya.

Menurutnya, OACP KPDNHEP diwujudkan sejajar dengan kehendak Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Januari lepas serta turut mendapat panduan dan nasihat daripada Pusat Governans Integriti dan Antirasuah (GIACC), Institut Integriti Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada majlis itu juga, Saifuddin Nasution turut melancarkan sistem MySAFE yang sebelum ini dikenali sebagai MyStandard, iaitu sistem yang dibangunkan oleh kementerian sejak Jun 2012, untuk memudahkan pihak industri melaksanakan proses pematuhan terhadap peraturan standard keselamatan mainan kanak-kanak dan bateri primer secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Sistem MySAFE dijangka beroperasi secara 'live' menggantikan MyStandard pada bulan hadapan dan sesi taklimat sistem MySAFE akan diadakan sebelum sistem itu beroperasi secara live," katanya.

Antara yang ditambah baik melalui MySAFE ialah fungsi yang membolehkan pengguna menyemak status pendaftaran syarikat, membuat carian mengenai penarikan balik barang dari pasaran dan barangan yang dilarang penjualannya. - Bernama