X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi besar-besaran perangi sindiket ah long!

Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi besar-besaran akan dijalankan bagi memerangi kegiatan sindiket peminjam wang haram atau ah long, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan perincian operasi yang akan dibuat, beliau berkata, mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ah long akan ditahan seterusnya didakwa.

"Tidak lama lagi polis akan lancarkan operasi besar-besaran terhadap ah long dan ini bukan wayang.. mereka ini akan ditangkap serta didakwa.

"Mungkin mereka ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA)... saya perangi mereka ini dengan pelbagai senjata (akta) bukan setakat satu sahaja," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini media melaporkan ah long bertindak agresif dengan menampal poster individu yang gagal membayar pinjaman di seluruh kawasan kampung bertujuan memalu serta menakut-nakutkan peminjam.

Dalam perkembangan lain Abdul Hamid berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sedang mengambil pelbagai tindakan dan pendekatan untuk memerangi kegiatan judi di ibu negara.

"Tangkapan sindiket judi dibuat setiap minggu dan saya lihat tahap kesedaran warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadikan Kuala Lumpur bebas judi berjalan baik.

"Tindakan drastik juga diambil oleh JSJ bagi membanteras kegiatan samseng di ibu negara," katanya.

Beliau turut mengingatkan setiap warga PDRM untuk terus menjalankan tugas serta amanah dengan baik.

"Bilangan tenaga kerja di bahagian tertentu akan ditambah bagi membolehkan kerja dijalankan dengan teratur...ini kerana saya tidak mahu tugas dilakukan sekadar untuk melepaskan batuk di tangga," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus