Boikot minyak sawit: Pas saran Malaysia hantar nota diplomatik kepada India

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas memberi saranan kepada kerajaan supaya menghantar nota diplomatik kepada India susulan ancaman negara itu untuk memboikot minyak sawit negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, biarpun kerajaan perlu konsisten dalam menyuarakan isu di Jammu dan Kashmir namun pada masa sama perlu mengambil kira kejatuhan berterusan harga minyak sawit sehingga mungkin akan menjejaskan pendapatan pekebun tempatan.

“Pas maklum akan hubungan dagang bilateral yang baik antara kedua-dua negara. Namun, pendirian Kerajaan di Perhimpunan Agung PBB berhubung konflik umat Islam di Jammu dan Kashmir harus dipertahankan.

“Isu di Jammu dan Kashmir adalah isu melibatkan kepentingan umat Islam dan hak kemanusiaan. Malaysia sebagai negara yang vokal terhadap isu-isu umat Islam sedunia mesti konsisten menyuarakan pandangan dan tidak akan mudah tunduk terhadap desakan daripada mana-mana pihak,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya tentang bagaimana India mengendalikan konflik di Kashmir dan Jammu, walaupun negara itu membuat ancaman untuk memboikot minyak sawit negara.

Dr Mahathir ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB bulan lalu menggesa India mematuhi resolusi PBB berkenaan wilayah itu dan kenyataan itu membangkitkan kemarahan di India.

Sekian lama PBB menggesa agar tentera yang ditempatkan di wilayah yang menjadi pertikaian itu dengan jumlah minimum, tetapi India pada Ogos lalu memansuhkan status autonomi di bahagian Kashmir yang ditadbirnya.

Negara itu kemudian meletakkan puluhan ribu tentera di kawasan itu untuk mengelakkan reaksi balas daripada masyarakat di sana yang majoritinya beragama Islam.

Artikel Berkaitan:

India dan Pakistan menuntut kawalan penuh di Kashmir dan Jammu dan kini masing-masing menguasai sebahagian daripada wilayah itu.