'Azmin cuba mengampu Mahathir'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menyarankan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal dilihat sebagai cubaan mengampu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin mendakwa, kenyataan Mohamed Azmin itu juga seolah-olah mahu menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Pada pandangan saya kenyataan beliau tidak lain selain cuba ‘menjilat’ Dr Mahathir dan cuba untuk menghalang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri walaupun isu ini sebenarnya sudah selesai dan pimpinan keempat-empat parti telah maklum akan peralihan kuasa ini.

“Azmin dilihat semakin tidak senang duduk akan keadaan terkini apatah lagi ketika peralihan kuasa semakin hampir.

"Akan ada kenyataan dari beliau dan 'orang-orangnya' untuk menentang peralihan kuasa sedangkan pimpinan keempat-empat parti tidak mempunyai isu untuk menangguh mahupun menentang peralihan kuasa sama ada dari Bersatu, Amanah, DAP dan PKR,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Razeef yang juga Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah berkata, negara pada ketika ini amat memerlukan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelapan bagi melaksanakan agenda reformasi seterusnya membina semula negara.

“Adakah Azmin cuba menjadikan Negarawan Malaysia iaitu Dr Mahathir sebagai seorang munafik? Adakah Azmin ingat Dr Mahathir akan mengikut kata-katanya dan merosakkan legasi gemilang Dr Mahathir yang beliau cuba bina semula selepas berjaya menumbangkan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional, hanya untuk memenuhi keinginan peribadinya?” soal Razeef.

Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini berkata, pihak yang ghairah mahu berkuasa dengan mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal dari lima tahun, disifatkan sebagai cuba menubuhkan kerajaan menggunakan ‘pintu belakang’.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau berpendapat supaya Dr Mahathir dibenarkan menjalankan tugasnya sehingga penggal selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan 'pintu belakang': Itu kenyataan kumpulan terdesak!

Reaksi itu disuarakan selepas ditanya desas-desus mengatakan beliau merupakan antara dalang dalam komplot mewujudkan kerajaan pintu belakang tanpa DAP dan Amanah.

Bahkan, beliau turut menganggap ia adalah adalah kenyataan yang datang dari kumpulan yang terdesak.

Turut dikaitkan adalah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disebut sebagai mengetuai kempen berkenaan tetapi beliau menafikannya.