X

Kindly register in order to view this article
!

‘Adik tak tahu kakinya dah tiada’

Muhammad Zulhaikal kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Murid Sekolah Kebangsaan Peroh, Ajil yang putus kaki dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu malam tadi masih belum mengetahui kaki kanannya tidak dapat diselamatkan.

Kakak mangsa, Nur Nabilah Mohamed, 17, berkata, adiknya iaitu Muhammad Zulhaikal, 12, ada mengadu rasa sakit pada kaki, namun masih belum mengetahui bahawa kakinya sudah tiada.

Nur Nabilah berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana ingin memaklumkan keadaan sebenar kepada adiknya kerana bimbang akan penerimaannya.

“Semasa di tempat kejadian, dia beritahu kepada kami agar jangan risau, katanya dia 'ok'. Semasa dibawa ke hospital juga, dia masih sedar dan relaks sahaja, sempat dia bertanya boleh atau tidak nak minum air,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Menceritakan tentang kejadian itu, sewaktu kejadian berlaku, dia berada di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, Hulu Terengganu sebelum dimaklumkan ibu saudaranya akan kemalangan yang menimpa adik, sepupu dan bapa saudaranya.

Dia kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bagi melihat keadaan mereka.

“Apabila saya sampai, mereka baru sahaja dimasukkan ke dalam ambulans untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu, kemudian dipindahkan ke HSNZ malam tadi juga. Dalam jam tiga pagi, adik dibawa ke wad bedah,” katanya.

Nur Nabilah juga meminta kerjasama semua pihak agar berhenti menyebarkan gambar dan video mengenai adiknya bagi menghormati perasaan mereka sekeluarga.

“Saya rasa sedih sangat bila ada yang cakap adik saya dah mati sedangkan dia masih ada. Tolong hormat perasaan kami dan hentikan berita yang tidak tepat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh mengesahkan Muhammad Zulhaikal sudah selamat menjalani pembedahan kira-kira jam tiga pagi tadi.

Menurutnya, kaki mangsa tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan teruk pada sendi paha.

Bapa saudaranya, Samri Said, 52, pula hancur kaki kanan dan berkemungkinan akan dipotong bagi menyelamatkan kakinya dan pembedahan akan dibuat dalam masa terdekat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!