X

Kindly register in order to view this article
!

Terikat lagu duet, Syamel mahu kembali solo

Syamel tidak mahu dikatakan terlalu bergantung kepada lagu duet sahaja.
A
A

BIARPUN penampilannya menerusi beberapa buah lagu duet semakin mendapat sambutan dan respons positif daripada peminat, penyanyi Syamel menegaskan keutamaannya tetap kepada nyanyian solo.

Kata Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 25, disebabkan terlalu kerap tampil dengan lagu duet, dia sering mendapat undangan membuat persembahan bersama rakan duetnya, Erni Zakri, sehingga ada yang terlupa dia bermula sebagai penyanyi solo.

“Kadang-kadang dah jadi macam pakej, bila ada saya, mesti ada Ernie. Kami tidak pernah merancang begitu, namun disebabkan beberapa lagu duet kami diterima ramai, orang lebih senang kami tampil membuat persembahan bersama.

“Dari lagu Aku Cinta, Takkan Terlerai dan Seri Hari Lebaran peminat melihat kami terus-terusan tampil secara duet sehingga ada yang merasakan kami bergantung kepada lagu duet untuk saling menumpang populariti.

“Sebenarnya tidak ada istilah bergantung antara satu sama lain kerana baik saya mahupun Ernie, masing-masing tetap tampil dengan single solo dan bergerak sendiri. Lagu duet ini hanya pelengkap sahaja,” kata Syamel.

Justeru, Syamel yang mula dikenali menerusi lagu Hidup Dalam Mati itu mahu kembali menumpukan perhatian kepada penghasilan single solo terbaharunya yang kini dalam dalam proses pembikinan.

Syamel yang kali terakhir muncul dengan single solo bertajuk Kau Pun Sama, kali ini memilih untuk kembali kepada lagu berentak perlahan.

“Mungkin sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya tampil dengan lagu solo dan ingatkan kembali peminat bahawa saya adalah penyanyi solo.

“Saya benar-benar teruja menantikan single terbaharu ini kerana saya sudah lama tidak tampil dengan lagu solo balada selepas Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna.

“Sebenarnya ramai yang keliru dan merasakan saya sentiasa keluar single baharu, sedangkan sebahagian daripada lagu-lagu tersebut hanyaalh untuk projek tertentu. Misalnya lagu Maafkan yang dihasilkan sempena bulan Ramadan, selain single untuk lagu raya dan runut bunyi sebuah filem,” jelas Syamel yang ingin mengatur semula strategi dalam usaha memantapkan kerjaya seninya.

Single solo terbaharu yang belum diberikan judul itu yang merupakan hasil ciptaannya sendiri bersama Epul Drama Band dan bakal dilancarkan pada November depan serentak dengan muzik video,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus