X

Kindly register in order to view this article
!

Khazanah ada suara penting dalam struktur baharu MAS: Azmin

Mohamed Azmin ketika ditemui di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan tetap mempunyai pengaruh dan saham penting di dalam pelaksanaan struktur baharu pengurusan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) pada masa hadapan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu dijamin pihaknya dalam memastikan kerajaan melalui Khazanah akan tetap mempunyai suara penting dalam struktur baharu MAS kelak.

Menurutnya, Khazanah dan syarikat induk kepada MAS iaitu Malaysian Aviation Group Berhad (MAGB) sudah mempelawa 20 pelabur berpotensi untuk menjadi rakan strategik MAS.

"Melalui proses ini, Khazanh dan MAGB sudah menyenaraipendekkan empat pelabur strategik untuk dinilai dengan ketat dengan penekanan diberi kepada cadangan mengambil kira kehematan kewangan dan sinergi kepada operasi MAS.

"Bagaimanapun, di bawah Non Disclosure Agreement, kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci mengenai pelabur-pelabur strategik yang sedang melalui proses ini," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapha Mohamed (PH-Jeli) yang meminta penjelasan sejauh mana usaha kerajaan mengekalkan hak pegangan dan kepentingan dalam MAS demi mengekalkan maruah negara.

Dalam soalan lisan Datuk Alexander Nant Linggi (GPS-Kapit), beliau meminta kerajaan menyatakan kebenaran khabar mengatakan negara Jepun berhasrat mengambil alih MAS, Mohamed Azmin menegaskan perkara itu belum dapat dimuktamadkan kerana proses masih dalam pertimbangan dan penelitian kerajaan.

Menurutnya, pada ketika ini, MAS sedang berusaha memantapkan operasi dan pengurusan dalaman melalui usaha-usaha penjimatan kos operasi, penambahbaikan perkhidmatan dan memperkukuhkan perjanjian perkongsian kod dan perjanjian usahasama dengan syarikat penerbangan lain supaya MAS akan terus berdaya saing bagi menghadapi cabaran-cabaran industri penerbangan masa hadapan.

"Ada rakan dan pelabur strategik bercadang untuk menguasai saham majoriti, ada beri pandangan supaya Khazanah mengekalkan saham majoriti di dalam MAS, semua ini dalam pertimbangan kita. Yang penting, kerajaan melalui Khazanah akan tetap mempunyai suara penting dalam struktur baharu.

"Sama ada terdapat penglibatan syarikat tempatan menawar diri untuk menjadi rakan kongsi strategik MAS di bawah Non Disclosure Agreement, kerajaan tidak dapat mendedahkannya.

"Cuma yang boleh saya nyatakan syarikat terbabit adalah merupakan syarikat-syarikat di peringkat antarabangsa dan rantau Asia Tenggara untuk diberikan pertimbangan bagi proses seterusnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus