Ahli Parlimen Bangladesh upah penyamar duduki peperiksaan universiti

Tamanna Nusrat dibuang universiti susulan dakwaan mengupah lapan individu berwajah seiras dengannya bagi menduduki peperiksaan. -Foto Agensi
Tamanna Nusrat dibuang universiti susulan dakwaan mengupah lapan individu berwajah seiras dengannya bagi menduduki peperiksaan. -Foto Agensi
A
A
A

DHAKA - Seorang Ahli Parlimen Bangladesh dibuang universiti susulan dakwaan mengupah lapan individu berwajah seiras dengannya bagi menduduki peperiksaan.

Tamanna Nusrat, dari Parti Liga Awami dituduh membayar lapan wanita untuk menyamar sebagai dirinya dan menduduki sekurang-kurangnya 13 ujian.

Skandal terbongkar selepas stesen penyiaran swasta, Nagorik TV bertindak memasuki dewan peperiksaan dan bersemuka dengan salah seorang wanita yang menyamar sebagai Nusrat.

Rakaman video insiden terbabit turut menjadi tular.

Nusrat yang menduduki kerusi Parlimen tahun lalu, mengikuti pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda Seni di Universiti Terbuka Bangladesh (BOU).

"Kami bertindak membuang Nusrat dari universiti kerana telah melakukan jenayah. Jenayah tetap jenayah.

"Kami telah membatalkan pendaftarannya, dia tidak boleh lagi memasuki universiti ini," kata Naib Canselor BOU, Profesor MA Mannan kepada AFP.

"Individu yang menduduki peperiksaan bagi pihak Nusrat dilindungi pengawal Ahli Parlimen berkenaan ketika menjawab soalan. Semua orang menyedari hal itu namun tiada sesiapa berani bersuara kerana Nusrat berasal dari keluarga berpengaruh," kata seorang pegawai kolej terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Nusrat yang diberi notis surat tunjuk sebab oleh pihak berkuasa universiti gagal dihubungi untuk sebarang komen. - Agensi