Pemahaman konsep kebersamaan penting capai perpaduan

P Waytha Moorthy
P Waytha Moorthy
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemahaman mengenai konsep kebersamaan amat penting bagi memperbaiki permasalahan perkauman dan agama yang sedang dialami rakyat Malaysia kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy sehubungan itu berkata, kerajaan bercadang meningkatkan kerjasama melibatkan sektor perkhidmatan awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan pemahaman tentang perpaduan sejati sebagai satu daripada inisiatif untuk memperbaiki permasalahan tersebut.

"Perpaduan penting untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Hanya melalui pemahaman mengenai konsep kebersamaan, kita dapat memastikan semua rakyat Malaysia menikmati kesaksamaan yang menyeluruh.

"Kita perlu sedar, kepentingan tanggungjawab bersama dalam membendung anasir-anasir jahat sebelum ia menghancurkan kebersamaan yang telah kita usahakan selama bertahun-tahun selama ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena sesi syarahan yang disampaikannya di Pusat Pendidikan Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini semalam, bertajuk Harmoni Malaysia: Demografi, Perhubungan Kaum dan Integrasi Nasional.

Waytha Moorthy yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata, dalam sesi syarahan dihadiri lebih 20 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, beliau menekankan inti pati kebersamaan yang dianggap keutamaan baginya memandangkan suasana perkauman dan agama negara ketika ini.

Ketika menjawab soalan peserta pada syarahan itu, Waytha Moorthy berkata, beliau turut bersetuju bahawa hak memperjuangkan keunikan sesuatu kaum tidak boleh melibatkan sebarang usaha untuk menidakkan hak-hak orang lain.

Beliau berkata rakyat Malaysia diharapkan berusaha memahami keunikan masing-masing yang hanya dapat dicapai melalui pendidikan dan penyertaan aktif setiap rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: