Ancam dan rosakkan kenderaan, JPJ buat laporan polis

Kejadian kemalangan yang dikaitkan dengan anggota JPJ sehingga mengundang kemarahan ramai apabila ditular pihak tertentu.
Kejadian kemalangan yang dikaitkan dengan anggota JPJ sehingga mengundang kemarahan ramai apabila ditular pihak tertentu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu membuat laporan polis tentang fitnah disebarkan terhadap anggota jabatan itu sehingga mengundang kemarahan orang ramai, susulan kemalangan berlaku di Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, berhampiran Kampung Tok Dor, Ajil di Hulu Terengganu, malam tadi.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya berasa kesal apabila anggotanya dikaitkan dengan kemalangan berkenaan sehingga menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.

Beliau menjelaskan, anggotanya hanya berada berhampiran lokasi kejadian semasa kemalangan itu berlaku.

“Apa yang saya kesal, terdapat tindakan provokasi dan melulu oleh orang awam, kesan daripada viral (tular) yang tidak betul sehingga mengancam keselamatan anggota saya dan telah berlaku kerosakan kepada kenderaan jabatan.

“Kita telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu berhubung perbuatan ancaman dan khianat ini.

"JPJ juga sedang mengumpul maklumat untuk membuat laporan polis berhubung fitnah yang telah ditularkan sehingga mendatangkan kemarahan orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud mengesahkan menerima laporan daripada anggota JPJ yang terlibat berhubung insiden tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, anggota berkenaan yang juga pengadu berumur 49 tahun bersama dua lagi rakan setugas sedang menjalankan tugas penguatkuasaan, iaitu membuat ‘snapcheck’ ke atas sebuah lori pada jam 7.20 malam di Kampung Tok Dor, Ajil, sebelum berlaku kemalangan berhampiran lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Semasa pengadu sedang memeriksa lesen pemandu lori di bahu jalan, tiba-tiba kedengaran dentuman kuat dan pada masa sama pengadu melihat tiga individu, masing-masing dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan terbaring di jalan raya.

“Pengadu dan rakan setugas yang terkejut melihat kemalangan yang berlaku terus menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya.

Bagaimanapun, semasa keadaan kelam kabut di lokasi kemalangan, pengadu dan dua rakannya didatangi beberapa orang lelaki yang tidak dikenali lalu memarahi anggota JPJ tersebut.

Jelasnya, walaupun penjelasan awal diberikan, sekumpulan individu berkenaan seakan tidak berpuas hati, namun berjaya dileraikan setelah anggota polis sampai di tempat kejadian.

“Siasatan ke atas kenderaan JPJ jenis Ford Ranger mendapati terdapat kesan cermin retak pada bahagian kanan kenderaan berdekatan stereng. Kita percaya ia kesan balingan batu oleh individu yang tidak berpuas hati dengan anggota JPJ terlibat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. Usaha mendapatkan saksi bagi mendapatkan maklumat berkenaan suspek giat dijalankan,” katanya.