X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu Gojek bantah pelantikan Nadiem sebagai menteri

Nadiem Makarim
A
A

JAKARTA - Pemandu Perkhidmatan Logistik dan Teksi Motosikal (Gojek) dijangka mengadakan demonstrasi bagi membantah pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif, Nadiem Makarim sebagai menteri dalam Kabinet baharu Indonesia.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Gabungan Aksi Roda Dua Nasional (Garda), Igun Wicaksono.

"Kami sedang berbincang dengan semua ketua Garda di Indonesia. Tarikh bila akan diadakan bantahan mungkin dicapai hari ini. Jika semua perbincangan berjalan lancar, protes itu juga dijangka diadakan serentak di seluruh negara," jelasnya.

Katanya lagi, pemandu Gojek akan berhimpun di beberapa wilayah antaranya di Sumatera Utara, Sulawesi Selatan dan beberapa tempat lagi termasuk Jakarta.

"Jika di Jakarta perhimpunan mungkin dibuat di Istana Merdeka atau di tempat lain. Belum dimuktamadkan lagi. Pelaksananya masih dalam perbincangan," kata Igun.

Difahamkan, pemandu Gojek menentang pelantikan Nadiem kerana menganggap pengasas syarikat tersebut gagal menjaga kebajikan pekerjanya.

Igun juga bimbang sekiranya Nadiem diangkat menjadi menteri, beliau akan melaksanakan banyak peraturan yang cenderung memberi keuntungan kepada syarikatnya dan mengabaikan pekerja.

Perkara itu tidak mustahil kerana ia telah pun dilaksanakan sepanjang Nadiem mengendalikan Gojek.

"Kami memohon Presiden Joko Widodo mengkaji semula dari aspek sosial dan psikologi pemandu Gojek kerana ramai yang tidak berpuas hati kerana kebajikan mereka tidak dijaga," katanya.

Semalam, Nadiem mengumumkan untuk meletak jawatan daripada syarikatnya untuk menyertai Kabinet Jokowi. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!