OKT terjun dari tingkat tiga bangunan mahkamah

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang suspek kes samun untuk cuba melarikan diri daripada proses reman dengan terjun dari tingkat tiga bilik reman Mahkamah Johor Bahru, di sini semalam, membawa padah apabila paha dan pergelangan tangannya patah selain mengalami retak pada bahagian rahang.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu berlaku ketika suspek, lelaki berumur 30 tahun itu dibawa ke bilik berkenaan untuk permohonan lanjutan reman berkaitan kes samun.

“Semasa proses bacaan reman hendak berjalan, tangkapan (suspek) berada di dalam ruang reman Orang Kena Tuduh (OKT) di bahagian tengah dan sedang duduk sementara menunggu giliran untuk bacaan permohonan reman.

“Suspek kemudian meloloskan diri dengan cara melucutkan gari daripada pergelangan tangannya secara paksaan dan terus keluar melalui tingkap sebelum terjun,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap semula oleh anggota polis pengiring di tingkat bawah mahkamah dan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan.

Shahurinain berkata, siasatan terhadap suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Pengangkutan Jalan 1983, masih diteruskan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: