Permintaan kacang dal dijangka meningkat

Summugam (dua dari kanan) membuat pemantauan sempena Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Mydin Taman Batik.
Summugam (dua dari kanan) membuat pemantauan sempena Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Mydin Taman Batik.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kacang dal dijangka mendapat permintaan tinggi berbanding 18 barangan lain yang ditetapkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di Kedah.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, R Summugam berkata, selain kacang dal, kelapa parut, kelapa biji, daging kambing dan bebiri import bertulang, daging kambing tempatan bertulang, cili merah dan cili kering yang turut mendapat perhatian juga disenaraikan sebagai langkah menyekat kenaikan harga menjelang perayaan itu.

Menurutnya, kacang dal digunakan sebagai salah satu bahan masakan kebanyakan juadah Deepavali dan beliau menjangkakan, ia sudah pasti mendapat permintaan tinggi daripada kaum India.

"Walaupun permintaan tinggi, namun saya menasihatkan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga selain mematuhi peraturan skim yang berkuat kuasa dari 20 Oktober hingga 2 November ini.

"Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi undang-undang akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membawa hukuman penjara selain denda dan kompaun mencecah RM100,000 bagi individu dan RM500,000 bagi syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di Mydin Taman Batik semalam.

Menurutnya, tempoh kuat kuasa skim yang dijalankan tahun ini berbeza berbanding sebelumnya apabila pelaksanaannya selama 14 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, sehari masa perayaan dan enam hari selepasnya berbanding 10 hari pada tahun lalu.

Katanya, kementerian mengenal pasti 19 barangan ditentukan harga maksimum berbanding 16 jenis barangan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan lain yang turut disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A,B,C, tomato, kubis bulat import, bendi, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan ubi kentang import.

Katanya, penentuan harga maksimum dilaksanakan di seluruh daerah di Kedah kecuali Pulau Langkawi membabitkan pertambahan kos pengangkutan bagi bekalan ayam.

Katanya, pemantauan akan menumpukan kepada tindakan meletakkan tanda harga barangan kawalan dengan tanda warna merah jambu, penjualan melebihi harga maksimum serta lain-lain kesalahan.

Beliau berkata, KPDNHEP telah bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga stabil.

Setakat ini, 241 premis telah diperiksa seluruh Kedah, namun tiada aduan diterima pada hari pertama penentuan harga maksimum barangan harga terkawal sejak skim itu dilaksanakan.