X

Kindly register in order to view this article
!

Datang Malaysia semata-mata nak menyamun

Zainol (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
A
A

GEORGETOWN - Lima penjenayah warga Indonesia yang bergiat aktif dalam jenayah pecah rumah di sekitar Pulau Pinang dicekup dalam Ops Rantau Steady yang dilancarkan sejak 15 Oktober lalu.

Mereka ditahan di Terminal Bas Hentian Duta, Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan ke Larkin, Johor untuk pulang ke Batam, Indonesia pada jam 2 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, sebelum itu, polis berjaya mengesan tiga daripada suspek telah menaiki bas di Terminal Sungai Nibong menuju ke Johor.

Menurutnya, hasil tangkapan itu, polis menyerbu kawasan hutan belakang lapang sasar Universiti Sains Malaysia (USM) di Bukit Gambir dan berjaya menahan dua rakan suspek pada jam 5.45 pagi hari yang sama.

"Serbuan dibuat ke atas khemah yang dibina suspek dan dipercayai ia adalah tempat berteduh suspek selepas melakukan pecah rumah. Mereka tiada tempat tinggal dan hanya tinggal di khemah tersebut. Jarak tempat persembunyian dengan jalan besar antara 1 hingga 3 kilometer.

"Hasil pemeriksaan kita merampas beberapa barangan hasil samun antaranya 20 unit telefon bimbit, pelbagai jenis beg, pakaian berjenama, jam tangan, barangan kemas, wang tunai dan senjata seperti parang, sabit dan kuku kambing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Zainol berkata, kelima-lima suspek berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun yang berasal dari Batam dan Riau itu masuk ke negara ini untuk melakukan jenayah tersebut sebelum pulang ke negara asal mereka semula.

"Ada suspek masuk ke negara ini secara sah dan ada secara haram melalui Selangor dan Johor. Mereka sudah biasa dengan keadaan di negeri ini kerana pernah bekerja sebagai buruh sebelum ini dan masuk ke negara ini hanya untuk melakukan jenayah sebelum pulang semula ke negara asal untuk menjual barangan yang disamun.

"Kumpulan ini aktif melakukan jenayah tersebut sejak 2017 dengan menyasarkan perumahan yang terletak di pinggir hutan," katanya.

Menurutnya, mereka akan mengumpil tingkap atau pintu rumah yang disasarkan lalu memecah masuk sebelum mengikat mangsa dan kegiatan itu dilakukan antara jam 3 hingga 5 pagi.

"Selepas mengikat mangsa, suspek akan berkata 'you steady, kami steady, kami cuma mahu wang sahaja' sebelum menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga iaitu wang tunai selain barangan yang mudah dijual antaranya jam tangan, telefon bimbit dan barang kemas.

"Suspek memakai topeng muka, bersarung tangan dan bersenjata senjata antaranya parang, pisau dan sabit ketika melakukan jenayah ini. Sebelum dan selepas melakukan jenayah, mereka akan bersembunyi dalam kawasan bukit dan hutan berdekatan Bukit Gambir," katanya.

Zainol berkata, ketua kumpulan berusia 56 tahun yang berasal dari Batam adalah salah seorang daripada tiga suspek yang berjaya meloloskan diri ketika serbuan samun di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas pada November dua tahun lalu.

"Dengan tertangkapnya lima suspek ini, kita berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah di daerah Timur Laut dan Barat Daya dalam tempoh Januari hingga bulan ini. Kesemua kes itu melibatkan kerugian RM500,000. Semua kes ini kita kenal pasti dilakukan kumpulan sama kerana menggunakan ayat sama iaitu 'you steady, kami steady, kami cuma mahu wang sahaja'.

"Suspek direman sehingga 3 November ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!