Penjawat awam kekal terima skim pencen: PM

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan anggota perkhidmatan awam disahkan perkhidmatan dan mendapat taraf berpencen akan terus kekal menerima faedah dan kemudahan skim pencen.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi) berkata, kerajaan bagaimanapun menghadapi cabaran membiayai faedah persaraan berikutan jumlah semakin meningkat.

Bagi menangani isu itu beliau menegaskan kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme baharu yang diharapkan tidak membebankan kerajaan dan pada masa sama, penjawat awam tidak rugi selepas menamatkan perkhidmatan awam.

"Misalnya perbelanjaan faedah persaraan pada tahun 2018 meningkat kepada RM23.87 bilion berbanding RM5.86 bilion pada tahun 2006. Jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun.

"Tambahan pula kerajaan terdahulu beberapa kali menaikkan gaji penjawat awam pada peratusan agak tinggi sekali gus meningkatkan liabiliti pencen.

"Bagi menangani isu ini kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme baharu diharapkan tidak membebankan kerajaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini cadangan melaksanakan Skim Lantikan Kontrak yang ditambah baik bagi menggantikan Skim Lantikan Tetap dan Berpencen dalam perkhidmatan awam.

Dr Mahathir berkata, pemberian faedah persaraan kepada pesara kerajaan adalah merupakan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan dan jasa penjawat awam sepanjang perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, faedah persaraan yang diperolehi oleh penjawat awam dalah dilindungi seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 147, Perlembagaan Persekutuan iaitu Perlindungan Hak-hak Pencen dan dikawal selia melalui Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).