Laksana regulatory sandbox kaji semula undang-undang kawal selia ekonomi gig

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melaksanakan satu 'regulatory sandbox' untuk dikaji semua badan regulatori termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah memenuhi trend masa hadapan dalam menggalakkan aktiviti berkaitan teknologi baharu termasuk sektor ekonomi gig.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selain itu, kerajaan turut mengambil beberapa inisiatif lain dengan objektif memanfaatkan ekonomi gig dan dalam masa sama, kepentingan pengguna dan kekal terjamin.

Menurutnya, antara inisiatif itu adalah penubuhan jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang akan merangka pelan jangka panjang terhadap isu-isu berkaitan ekonomi gig di negara ini.

"KSM juga akan menjalankan kajian terperinci dari segi takrifan perundangan berhubung terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan dalam industri kategori ekonomi gig selaras dengan perubahan trend ekonomi di bawah perkembangan Industri 4.0.

"Paling penting, kita memberi tumpuan kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, mampan dan inklusif dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan lisan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkaitan sama ada kerajaan berhasrat mengawal selia sektor ekonomi gig, contohnya berkait skim pembayaran syarikat Foodpanda bagi membela nasib dan kebajikan pekerja ekonomi gig.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadzil mengenai sama ada kerajaan akan mengambil kira faktor Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya kepada pekerja ekonomi gig terbabit, Dr Mahathir berkata, sebagai satu trend baharu, kerajaan menghadapi cabaran dalam penjagaan kebajikan para pekerja yang terlibat dengan ekonomi gig.

Menurutnya, perkara itu disebabkan hubungan 'master dan servant' dan hubungan pekerjaan dengan majikan kurang jelas.

Artikel Berkaitan:

"Memang kerajaan amat prihatin terhadap nasib pekerja terlibat dalam gig ekonomi kerana bagi pekerja terbabit yang tidak mengikut peraturan dikenali sekarang, kerajaan kena periksa apakah kepentingan pekerja terlindung atau tidak.

"Buat masa ini, kita masih buat kajian kerana sistem ini adalah sistem baharu kerana perhubungan mudah antara pekerja dengan majikan.

"Ini cara baharu mereka bekerja dan sebab itu kita perlu kekal sistem ekonomi supaya wujud peraturan yang melindungi hak pekerja," katanya.